NACP bukti kerajaan PH serius hapuskan rasuah

NACP bukti kerajaan PH serius hapuskan rasuah

Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang telah dilancarkan oleh kerajaan pada akhir Januari yang lalu membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) amat serius bagi menghapuskan rasuah.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Bersatu Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Jasmin Mohamed ketika ditemui semalam.

Malah katanya kerajaan kini harus menjadikan kejatuhan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 Mei lalu sebagai satu iktibar.

Jelasnya lagi, penolakan majoriti rakyat terhadap BN dalam PRU yang lalu amat ketara dan nyata.

“Rakyat telah memberi signal bahawa mereka menolak amalan rasuah yang amat jijik.

“Setelah amaran demi amaran tidak diendahkan, akhirnya rakyat terpaksa membuat pilihan dengan menolak BN.

“Kini kerajaan PH sedia ada harus melihat secara terperinci agar tiada unsur-unsur rasuah dalam kepimpinan kerajaan,” ujarnya lagi

Menurut Jasmin lagi, kerajaan sedia ada wajib memastikan semua pimpinan dalam PH adalah mereka yang berintegriti.

“Rakyat tidak mahu lagi sistem pentadbiran lama menghantui mereka selepas kemenangan PH.

“Sehubungan itu kepimpinan tertinggi PH sehinggalah ke peringkat negeri dan juga bahagian harus memastikan tiada unsur-unsur rasuah yang menjadi amalan.

“Seandainya ini dapat dipraktikkan secara serius, sudah tentu kemenangan dan dokongan akan diterima berterusan oleh PH,” tegasnya.

NACP yang dilancarkan oleh kerajaan akhir Januari yang lalu juga bertujuan untuk menangani isu governans, integriti dan anti rasuah secara menyeluruh.