NACP jadi panduan utama perangi rasuah

NACP jadi panduan utama perangi rasuah

Usaha kerajaan membangunkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) adalah bagi mencapai aspirasi supaya Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, kebanyakan rakyat Malaysia merasa mual dengan kejadian rasuah yang berleluasa dalam negara melibatkan kerajaan, digelar sebagai sebuah kleptokrasi di peringkat antarabangsa.

“Mereka menyalurkan kemarahan melalui peti undi yang membawa kepada perubahan kerajaan, menumbangkan parti/gabungan yang memerintah negara sejak kemerdekaan. Oleh itu, penting bagi kerajaan baharu untuk sentiasa diingatkan bahawa satu-satunya isu yang membawa kepada kejatuhan kerajaan yang berusia 61 tahun itu adalah amalan rasuahnya,” katanya menerusi pernyataan visi dalam Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 yang dilancarkan hari ini.

Dr Mahathir berkata pemimpin negara mesti menunjukkan komitmen mereka menentang rasuah dari awal lagi dan diikuti oleh pelbagai sektor, organisasi dan setiap unit keluarga dalam masyarakat secara keseluruhan.

Perdana Menteri berkata kepimpinan melalui teladan adalah cara yang berkesan untuk mencapai keadaan di mana setiap warganegara tidak mengamalkan amalan rasuah.

Beliau berkata kerajaan baharu di bawah gabungan parti-parti Pakatan Harapan (PH) akan menegakkan kedaulatan undang-undang, menerapkan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti serta tadbir urus yang baik apabila menjalankan autoriti atau kuasa.

“Ini akan menjadi asas dalam usaha untuk menghapuskan rasuah dan membentuk ekosistem bebas rasuah untuk generasi akan datang. Kita yakin jika berjaya dalam usaha ini, Malaysia akan memperoleh semula kedudukan yang sepatutnya,” katanya.

Justeru, Dr Mahathir berkata NACP dibuat selepas mengambil kira pandangan daripada pemegang taruh untuk membolehkan kerajaan menjajarkan strategi ke arah mencapai visinya.

Katanya, kerajaan menangani rasuah dengan mempromosikan ketelusan, sikap bertanggungjawab dan integriti dalam semua pentadbiran kerajaan seperti digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan, iaitu matlamat 16 yang mempromosikan masyarakat aman dan inklusif untuk pembangunan mampan, memberikan akses kepada keadilan untuk semua dan membina institusi berkesan, bertanggungjawab dan inklusif di semua peringkat.

Perdana Menteri turut menggesa semua ketua jabatan, sama ada sektor awam atau swasta, entiti kepentingan awam, syarikat milik kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama-sama dalam usaha menghapuskan rasuah.

“Perlu ditekankan ke dalam minda semua rakyat Malaysia bahawa adalah penting bagi kita untuk memerangi rasuah jika kita mahu mencapai status negara maju,” kata Dr Mahathir.

Tambahnya, sejak mengambil alih tadbir urus negara, kerajaan telah menjalankan pelbagai langkah dan memperkenalkan dasar-dasar yang unik dan inovatif.

“Kerajaan akan memastikan usaha ini dilaksanakan untuk melindungi hak rakyat, menghentikan ketirisan dana awam, memperkuatkan keselamatan negara dan memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.- BERNAMA