Malaysia Dateline

Nadma, MetMalaysia jalin kerjasama kurangkan impak banjir

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bekerjasama dalam usaha mengurangkan impak banjir di negara ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat supaya bertindak pantas setiap kali berlaku bencana.

Ketika ini, Nadma bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi memberi amaran awal menerusi maklumat MetMalaysia yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp apabila banjir semakin buruk.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata masyarakat di negara ini perlu mencontohi masyarakat Jepun yang proaktif apabila berlaku sebarang bencana di negara matahari terbit itu.

“Di Jepun, masyarakat di sana sudah menghadapi bencana sejak begitu lama dan disebabkan itu mereka sentiasa berada dalam keadaan yang lebih bersiap sedia.

Jadi kami berharap apabila amaran dikeluarkan, masyarakat lebih cakna dan cepat bertindak bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, malam tadi.

Menurut Jailan, kemudahan media sosial membolehkan maklumat disampaikan dengan pantas sekali gus mempercepatkan proses untuk mangsa bencana berpindah ke tempat lebih selamat.

Sementara itu, bagi mengurangkan impak banjir, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pascabencana) Nadma, Mohamed Zahari Razali menggesa rakyat negara ini menjauhi tabiat membuang sampah di merata-rata dan mengamalkan amalan gotong-royong dari semasa ke semasa.

“Masyarakat tidak boleh selalu mengharapkan kerajaan untuk membesarkan parit atau sungai sebaliknya sikap semangat gotong royong perlu diterapkan, walaupun nampak kecil tapi peranannya dalam mengurangkan banjir akan menjadi lebih besar pada masa akan datang,” katanya.

Sehingga kini, 80,000 anggota agensi responden bersiap sedia menghadapi banjir serta 5,000 pusat pemindahan sementara disediakan yang mampu menampung sehingga 1.6 juta mangsa banjir.