Malaysia Dateline

Pahrolrazi Zawawi

Nafas agih 75 peratus baja subsidi sejak dua minggu lepas, kata Phahrolrazi

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah mengagihkan sebanyak 75 peratus baja subsidi kepada pesawah, bagi musim kedua tanaman padi sejak dua minggu lepas dan proses itu dijangka akan selesai akhir bulan ini.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata agihan baja oleh NAFAS itu dilakukan, selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan menerima surat setuju terima kontrak dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

“Nafas sudah terima surat, jadi baja boleh mula diagihkan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Kedah dan Perlis dua minggu lepas. Walaupun dua minggu, sudah 75 peratus baja diagihkan dan boleh selesai hantar akhir tahun ini, kalau tiada masalah apa-apa.

“Proses agihan ini cepat sebab kita ada kilang baja di Gurun, lagi pula baja memang sudah sedia ada di gudang. Lepas agih kepada PPK, PPK pula akan agihkan kepada pesawah,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada program ‘Jom Kembali Ke Sekolah’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai isu agihan baja subsidi yang sebelum ini mengalami kelewatan di Kedah dan Perlis, sehingga mengganggu kerja-kerja pesawah di negeri berkenaan.

Sementara itu, Phahrolrazi berkata bagi tahun hadapan beliau berharap agar kerajaan akan terus memberi kepercayaan kepada Nafas, untuk menguruskan baja subsidi sebagaimana yang telah dilakukan Nafas sejak 30 tahun lepas.

“Setakat ini kita tidak pernah ada masalah untuk membekalkan baja, asalkan mendapat pesanan yang lebih awal. Mungkin tahun ini ada sedikit masalah, yang menyebabkan berlaku kelewatan dalam pengagihan baja, tetapi kita harap tahun hadapan kelulusan akan dikeluarkan lebih awal.

“Memang Nafas ada kilang di Gurun untuk proses baja, tetapi kita perlukan tempoh sekurang-kurangnya dua bulan untuk sediakan baja kerana bahan mentah ini ada yang diambil dari luar negara, jadi memang ambil masa untuk dapatkan bekalan,” katanya.

Terdahulu pada program ‘Jom Kembali Ke Sekolah’, Nafas  menyerahkan baucar bernilai RM100 kepada 200 orang pelajar bagi membeli barangan kelengkapan sekolah.– BERNAMA