Malaysia Dateline

Nafas akan tingkatkan pengeluaran baja di Lahad Datu

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan meningkatkan pengeluaran baja di kilang bajanya di Lahad Datu, kata Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas  Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi hari ini.

Katanya, kilang itu berpotensi untuk maju kerana harga baja yang dikilangkan mampu memberi saingan kepada produk baja dari luar Sabah dengan harga yang lebih murah.

“Pada masa ini, baja daripada kilang itu hanya untuk kegunaan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“NAFAS juga akan menyasarkan ladang-ladang Felda di Lahad Datu dan Tawau (apabila pengeluaran baja ditingkatkan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kasih Peladang  pada Ahad

Mengenai program itu, Phahrolrazi berkata ia merupakan usaha NAFAS untuk membantu anggota peladang terpilih bagi menerima sumbangan zakat daripada hasil perniagaan pertubuhan itu, sekaligus menjalinkan permuafakatan dalam kalangan ahli peladang setempat.

Katanya, seramai 125 asnaf daripada kalangan amggota peladang PPK Kalabakan, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kunak masing-masing menerima zakat sebanyak RM200.

Program Kasih Peladang tahun ini melibatkan 10 lokasi di seluruh negara dengan sasaran 5,000 orang penerima– BERNAMA