Malaysia Dateline

NAFAS sasar sejuta keahlian menjelang pertengahan tahun hadapan

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menyasarkan satu juta keahlian menjelang pertengahan tahun hadapan berbanding 900,000 ahli buat masa sekarang.

Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata pertubuhan itu yakin mampu mencapai sasaran berkenaan menerusi pelbagai program yang akan dianjurkan selepas ini.

Antara program yang direncanakan ialah Reformasi Peladang Pengkalan Chepa selama dua hari di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Pengkalan Chepa di sini, dengan mengadakan beberapa segmen dan aktiviti menarik, santai dan ilmiah dengan sasaran 1,000 peserta.

“Antara pengisian program ialah Cerna Minda Tani iaitu Kursus Agropreunuer Muda, Jualan Untuk Kita iaitu jualan ayam dengan harga promosi, Ziarah Peladang serta pameran daripada jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat swasta.

“Seminar yang diadakan diharap dapat memberi pendedahan dan latihan secara teori dan praktikal kepada ahli-ahli peladang dan penduduk setempat yang berminat untuk menerokai industri pertanian,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program itu di sini, hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Husam Musa.

Mohd Hisyamuddin berkata, program Reformasi Peladang itu dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sepanjang tahun ini yang bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama antara NAFAS, Pertubuhan Peladang Negeri dan Pertubuhan Peladang Kawasan.

Sementara itu, Husam berkata inovasi dalam bidang pertanian perlu diteruskan dari semasa ke semasa bagi memodenkan sektor itu sekaligus memberi keuntungan kepada pemegang taruh.

Dasar yang dirangka Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani adalah berasaskan tiga dimensi sektor agromakanan iaitu keselamatan makanan negara, pembangunan ekonomi luar bandar serta penggalakkan pelaburan swasta dan perdagangan antarabangsa.

“Justeru bagi memastikan pembangunan agromakanan negara terus kompetitif, perhatian serius perlu diberikan kepada usaha meningkatkan daya saing kumpulan sasar dengan melaksanakan Reformasi Pertanian melalui penggunaan teknologi moden serta mekanikal bagi memperkasakan sektor pertanian.

“Saya menyokong penuh program seumpama ini dan diharap dengan penganjuran ini dapat memberi manfaat kepada kumpulan sasar khususnya golongan muda,” katanya.

Seorang ahli NAFAS, yang juga ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengkalan Chepa, Mohd Asmawi Ab Shukor, 37, berkata sebelum menyertai PPK beliau melakukan pelbagai kerja termasuk berniaga pakaian terpakai untuk menyara keluarga.

Mohd Asmawi, yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) akibat kanser tulang berkata, beliau kemudiannya memulakan projek menanam 1,000 beg cili fertigasi di kawasan rumahnya selepas menyertai PPK.

“Untuk tuaian pertama saya berupaya mengutip hasil sebanyak dua tan dan kini masih lagi melakukan tuaian.

“Saya juga kini meluaskan kawasan projek tanaman ini kepada satu hektar dengan 4,000 polibeg tanaman cili. Kursus yang dijalankan oleh PPK amat berkesan dan saya amat berterima kasih kepada pihak terbabit yang membantu keluarga saya dengan kaedah pertanian moden,” katanya.

Bagi Oney Soffia Aziz, 50, yang menjalankan perusahaan membuat maruku berkata perusahaannya kini bertambah maju dengan menambah beberapa produk termasuklah maruku bilis, kacang, bilis dan keju.

Selain itu syarikatnya juga kini menyediakan inovasi terbaru iaitu maruku durian untuk melebarkan sayap dalam perniagaan berasaskan makanan ringan.

— BERNAMA