Nafas sudah kemuka pelan perniagaan kepada MOA, kata Salahuddin

Nafas sudah kemuka pelan perniagaan kepada MOA, kata Salahuddin

Kepimpinan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah mengemukakan pelan perniagaannya kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bulan lepas, kata Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub.

Katanya pelan tersebut meliputi empat bidang iaitu padi, ternakan, agro makanan dan perikanan.

“Saya telah melihatnya dan mengkajinya, dan saya beri keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan Nafas yang baharu, untuk mereka membuat pelbagai inisiatif.

“Kementerian akan membantu dari aspek kepakaran seperti melibatkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Lembaga Pertubuhan Peladang dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Program Kasih Peladang Parlimen Pulai, ketika diminta mengulas sejauh mana peranan Nafas ketika ini, pada Ahad.

Menurutnya, pelan perniagaan itu juga akan dihadam dan direalisasikan dalam beberapa insiatif dan strategi, yang sekali gus dapat meningkatkan sektor makanan negara pada masa akan datang.

Namun menurutnya apa yang penting, Nafas yang baru dipulihkan dengan pembentukan kepimpinan baharu itu, dapat menjadi ‘payung’ kepada hampir 900,000 peladang di seluruh negara.

Katanya proses penstrukturan kembali pertubuhan itu sedang berjalan, sejak Nafas bebas daripada penggantungan, 15 Jan lepas.-
BERNAMA.