Malaysia Dateline

Nafas sumbang RM1juta peruntukan bantu mangsa banjir

Lembaga Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 Juta akan diberikan bagi menyediakan keperluan kepada mangsa banjir di seluruh negara.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas berkata, seramai 30 orang dari Skuad Bantuan Banjir digerakkan ke Terengganu dan Kelantan bagi membantu mangsa banjir bukan sahaja dari kalangan ahli-ahli Peladang, malah melibatkan keseluruhan mangsa terlibat.

Menurutnya, bantuan tersebut merupakan peruntukan daripada keuntungan perniagaan Nafas yang dipulangkan kembali kepada ahli-ahli Peladang secara khusus.

“Skuad bantuan yang pertama akan bergerak ke pusat-pusat pemindahan di Pantai Timur-Terengganu dan Kelantan bagi mengagihkan bantuan-bantuan yang diperlukan mengikut permintaan.

“Bantuan dan khidmat sosial akan diteruskan ke negeri-negeri lain yang terlibat banjir antaranya Johor dan juga ke negeri-negeri di utara Semenanjung.

“Jadi, peruntukan RM1 Juta itu akan disalurkan ke seluruh negara yang dilanda musibah, tidak semestinya digunakan di Terengganu dan Kelantan sahaja. Jumlah tersebut merangkumi bantuan musim banjir tahun ini,” katanya katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Skuad Bantuan Banjir, di Pejabat Nafas, Kota Damansara.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, Sebuah Bilik Gerakan yang beroperasi di Ibu pejabat Nafas akan mengemaskini maklumat kawasan yang berlaku bencana serta jumlah mangsa bagi melicinkan pergerakan skuad bantuan banjir.

Jelasnya, sukarelawan NAFAS yang digerakkan akan turut serta bagi bantuan pasca banjir; membersihkan kawasan tempat tinggal, dewan dan premis-premis yang terlibat banjir

“Nafas juga bersiap siaga menggerakkan skuad bantuan bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir dan banjir kilat berikutan peralihan Monsun Timur Laut.

“Program bantuan banjir seumpama ini bukan yang pertama dilaksanakan. NAFAS sentiasa prihatin terhadap ahli-ahli Peladang dan juga masyarakat setempat yang dilanda musibah pada musim tengkujuh,” ujarnya.