NAFAS tawar harga diskaun sempena MAHA 2018

NAFAS tawar harga diskaun sempena MAHA 2018

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menawarkan diskaun antara 30 hingga 40 peratus bagi produk-produk mereka sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018, di sini.

Pengurus Bahagian Pemasarannya, Faizah Jamaludin berkata setiap hari sepanjang MAHA, terdapat  waktu-waktu tertentu pihak NAFAS akan mengadakan waktu ‘happy hour’ yang mana produk-produk  pertubuhan itu dijual dengan harga lebih rendah.

Beliau berkata langkah itu diambil bukan sahaja untuk menarik lebih ramai pengunjung  ke pavilion NAFAS, malah secara tidak langsung dapat memberi input kepada orang ramai mengenai produk-produk hasil jenama ‘Peladang’ yang dikeluarkan pertubuhan itu.

“Masa happy hour memang murah betul, terutama pes pelbagai masakan, empat bungkus hanya RM10. Memang kita beri harga yang berpatutan kepada pengunjung,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di MAHA baru-baru ini.

Orang ramai boleh berkunjung ke Pavilion Nafas yang terletak di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian  Malaysia (MAEPS) di sini dan seharusnya tidak  melepaskan peluang mendapatkan produk-produk Peladang dengan harga yang rendah di pasaran pada waktu happy hour tersebut.

Faizah berkata, dalam segmen makanan, ada beberapa kategori produk seperti cip buah-buahan yang dihasilkan daripada buah-buahan segar terus dari ladang terpilih turut dipasarkan.

Antaranya cip nangka, nanas, cendawan, mangga dan betik yang pastinya memenuhi cita rasa pelang­gan yang menggemari makanan tersebut, tambah beliau.

NAFAS juga mengeluarkan produk makanan dalam tin antaranya kari ayam, kari daging, kari ikan keli dan sambal ikan keli yang amat sesuai bagi mereka yang melancong dalam dan luar negara, katanya.

Beliau berkata terdapat juga enam jenis sos antaranya sos cili pedas, lada hitam, cendawan, tomato, cili betik dan cili nanas dikeluarkan oleh pertubuhan itu yang pasti menambah selera hida­ngan.

Faizah berkata, pihaknya juga mengeluarkan empat jenis biskut di bawah jenama Peladang iaitu butter cookies, oat & walnut cookies, double chocolate chip cookies dan mix fruits cookies.

Pavilion NAFAS juga menawarkan program interaktif yang dinamakan Agrokids, yang mana kanak-kanak boleh menimba ilmu sains menerusi eksperimen yang dijalankan di situ antaranya mempelajari cara-cara membuat mayones, sabun, terarium dan aiskrim.

Pengunjung juga dapat merasai pengalaman menggunakan video visual realiti (VR) yang menayangkan keadaan sebenar di kilang memproses baja, bermula daripada pemilihan bahan mentah sehingga proses pembungkusan.

— BERNAMA