
Nafas umum 8 peratus dividen SPKP kepada 5,119 pelabur
Persatuan Peladang Kebangsaan (Nafas) meluluskan dividen sebanyak 8 peratus bagi pelabur Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) di bawah Dana Peladang Kebangsaan (DPK).
Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yang memaklumkan DPK telah mencatatkan keuntungan sebanyak RM9.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.
Katanya, jumlah keseluruhan agihan dividen bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM7.6 juta, iaitu kenaikan 0.7 peratus berbanding RM7. 5 juta pada tahun 2017.
“Walaupun dividen nominal jika dibandingkan dengan tahun 2017, DPK mampu memberikan pulangan yang kompetitif dan melebihi kadar inflasi secara konsisten dengan purata dividen sebenar bagi tiga tahun secara berturut-turut adalah 9.3 peratus.
“DPK telah menetapkan polisi dividen supaya agihan dividen melebihi kadar maksimum yang ditetapkan. Walaupun kadar dividen telah menurun, tetapi jumlah agihan dividen bertambah daripada RM7.5 juta kepada RM7.6 juta yang bakal diterima oleh 5, 119 pelabur
“Meskipun tahun 2018 merupakan tahun yang sukar dan didominasi oleh ketidaktentuan pasaran, DPK akan terus fokus kepada strategi pembiayaan dan kepelbagaian portfolio perbendaharaan bagi memberikan daya tahan dan pulangan yang memberangsangkan kepada ahli DPK di masa akan datang,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Nafas, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, penggantungan NAFAS pada Jun tahun lalu tidak menjejaskan kadar dividen yang diberikan kepada 5,119 pelabur ini.
“Nafas yang digantung operasinya bermula pada Jun 2018 telah dipulihkan kembali sekitar hujung bulan Januari tahun ini. Setelah penggantungan ditarik balik dan Nafas juga beroperasi dengan kepimpinan baharu, ia masih mampu memberikan dividen sebanyak 8 peratus bagi tahun kewangan 2018, “katanya