Malaysia Dateline

Nafi kecewa dengan MN tapi Zahid bertegas Umno banyak kali dikhianati

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau kecewa dengan Muafakat Nasional (MN), namun membuat penegasan Umno dikhianati berulang kali.

“Saya tidak pernah kecewa sebagai seorang orang ahli politik. Tetapi kita harus tahu bahawa bila kita berkongsi, terutamanya berkongsi hidup, kita harus saling percaya mempercayai dan kita jangan khianat mengkhianati.

“Cukuplah kalau pengkhianatan itu dilakukan sekali. Tetapi kalau telah berulang kali, bukan kepada Umno tetapi kepada pelbagai pihak, saya fikir itu harus dinilai semula,” katanya menjawab satu soalan moderator, Rafi Awang Kechik malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diwawancara dalam program ‘Jawab, Saya Tanya’ bertajuk ‘PRU15: Membentuk Atau Membina Arus?’ yang disiarkan secara dalam talian di saluran NR Channel TV.

“Oleh sebab MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN direalisasikan (dalam PRN Melaka) sebagaimana siri PRN sebelum ini.

“Biarlah Umno bertanding dengan panji BN secara solo dan insya-Allah rakyat akan memilih parti yang terbaik,” katanya.

Berkenaan kerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Ahmad Zahid menegaskan, beliau menghormati keputusan dan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Katanya, ketetapan sudah dibuat dan beliau selaku Presiden menghormati pada PRU-15, tiada kerjasama dengan Bersatu.

“Saya fikir itulah kehendak ahli-ahli Umno dan kepimpinan Umno di seluruh negeri Melaka. Saya harap mereka yang mendengar apa yang saya nyatakan ini adalah ekoran daripada suara hati dan suara hati politik mereka,” tambah Zahid lagi.

Pada 14 September 2019 ketika negara di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), Pas bersama Umno membentuk MN sebagai satu bentuk kerjasama.

Ketika berlaku krisis politik negara tahun lalu melalui Langkah Sheraton, Pas bersama BN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain, membentuk kerajaan.

Gabungan baharu itu akhirnya didaftarkan secara rasmi sebagai Perikatan Nasional (PN) dan Pas menyertainya secara rasmi biarpun Umno dan BN tidak bersama.

Gagasan MN kemudiannya dilihat ‘sepi’ sepanjang tempoh 17 bulan kerajaan PN sebelum disebutkan kembali oleh pemimpin Pas menjelang penamaan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri menggantikan Mahiaddin Md Yassin.

Sikap Pas yang berada dalam dua gabungan parti politik iaitu MN dan PN itu mengundang tanggapan bahawa Pas bermain dua ‘kolam’ serta cuba mengambil peluang dalam proses rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum PRU ke-15 (PRU-15).

Walau bagaimanapun, Pas menganggap partinya sebagai penyatu dengan menegaskan usaha memperkasa MN dan mempertahankan PN.

Pendekatan Pas berbaik dengan Mahiaddin dan PN sebelum ini membolehkan Pas kembali menganggotai barisan jemaah menteri Kabinet selepas 43 tahun bergelar pembangkang.

Pas kali terakhir berada dalam Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan campuran Perikatan dari 1973 hingga 1974 dan Barisan Nasional (BN) dari 1974 hingga 1977.

Dalam kerajaan PN yang bertahan hanya 17 bulan sehingga 16 Ogos lalu, seramai lapan daripada 18 Ahli Parlimen Pas dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Jumlah pemimpin Pas dalam barisan Kabinet diterajui Ismail Sabri juga masih kekal dengan tiga menteri dan lima timbalan menteri.

Malah, dua pemimpin Pas menjadi nama baharu dalam Kabinet ‘Keluarga Malaysia’ iaitu Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) manakala Ketua Dewan Ulama Pas, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II.

Dua pemimpin Pas masih kekal sebagai menteri iaitu Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar dan Air) dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Menteri Tenaga dan Sumber Asli).

Selain itu, empat pemimpin Pas kekal sebagai timbalan menteri iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim dan Timbalan Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Amzad Mohamed @ Hashim.