Malaysia Dateline

Nafi suaminya ‘scammer’, Vicha pilih lelaki dari Nigeria bukan kerana ‘itu’

Pelawak dan pelakon, Vicha Saywho, dilihat beremosi apabila diaju pertanyaan mengenai dirinya yang terpalit dengan tuduhan demi tuduhan tidak berasas yang dilemparkan saat dia membuat keputusan membuka cerita mengenai dirinya yang kini sudah tidak lagi hidup menjanda.

Niatnya cuma satu, untuk menjelaskan situasi agar tidak terus terpalit fitnah masyarakat selepas bernikah dengan seorang lelaki warga Nigeria sejak tiga tahun lalu setelah saling mengenali bermula tahun 2015.

Namun, pengakuannya bagaikan menjerat diri. Seharusnya ia dipandang sebagai satu perkara baik. Lantaran pernikahan begitu dituntut jika hati sudah suka sama suka.

Sebaliknya, Vicha atau nama sebenarnya Refika Novianti Faturohman dikecam pula dengan hal negatif yang mana dari satu sudut, menjejaskan juga imej suaminya yang dikenali dengan nama Johnson.

Semuanya kerana apa? Kerana orang kita sudah begitu taksub dengan momokan ‘jahat’ tentang sosok lelaki berkulit hitam berbangsa asing yang biasa didengar.

Berikut wawancara Pancaindera, Mingguan Malaysia dengan Vicha yang menangkis persepsi nakal segelintir netizen dan meluahkan rasa agar semua orang tahu dia bukanlah seorang yang bodoh!

Nafi suaminya 'scammer', Vicha pilih lelaki dari Nigeria bukan kerana 'itu'
Vicha sudah memiliki anak lelaki, Michael Trevor Ayomide yang kini telah pun berusia dua tahun.

Vicha kongsikan perihal pernikahan, tetapi kemudiannya ada pula warganet yang meletakan tanggapan tertentu pada Vicha. Komen?

Saya cuma kongsikan pasal suami sebelum ini kerana fikir, mungkin sudah sampai waktunya untuk saya berterus-terang.Iyalah, sudah tiga tahun berkahwin, nanti orang fikir lain.

Tapi tak sangka pula ada yang salah faham bila baca sebuah blog yang mendakwa saya cop lelaki Melayu penipu sebab itu pilih lelaki Nigeria. Saya menangis. Tak pernah pun cakap begitu. Terus-terang, saya sangat sayangkan Malaysia. Kalau dibanding dengan tanah air sendiri, saya lebih sayang di sini. Jadi, untuk apa saya cakap lelaki di sini semua penipu?

Jadi, siapa yang Vicha maksudkan pada awalnya?
Saya ditanya sama ada sebelum berkahwin kali kedua ini, pernah tak berkenalan atau bercinta dengan mana-mana lelaki lain. Saya cakap ada, kurang lebih lima orang pernah saya berkenalan tapi mungkin saya yang tiada tuah.

Kebetulan pula mereka yang saya kenal itu ada yang tidak jujur dan ada juga curang. Tapi tak adalah saya tuduh semua lelaki Melayu itu sama. Terus, saya kena kecam pula bila ada yang salah faham.

Berkahwin dengan Johnson, lelaki dari Nigeria, Vicha juga terhimpit dengan cerita-cerita kurang senang sebab orang di sini sering memomokkan lelaki asing berkulit hitam itu ‘scammer’ atau sebagainya. Komen?
Ini yang buat saya sedih sebab suami saya tak begitu. Bayangkan bila cerita begitu keluar dan keluarganya di Nigeria terbaca dan bertanya kenapa orang di sini tuduh anaknya begitu? Saya nak jawab apa?

Sudahlah dunia media sosial ini jejak digitalnya pasti ada di internet. Tak baik cakap suami saya scammer walhal keluarganya di sana adalah polis.

Kalau anak-anak kami tanya kenapa orang kata ayahnya scammer, macam penjenayah, sedihlah hati kami. Komen-komen itu yang membuatkan kami sakit. Tolonglah fikir perasan kami, keluarga dan anak-anak. Cuba letak situasi ini di tempat kalian, boleh tahankah?

Vicha tak ambil tindakan undang-undangkah?
Ramai kawan yang suruh saman, tapi saya ini orangnya tak suka bergaduh. Saya cuma beri amaran saja dan harap pihak tertentu yang keluarkan cerita salah atau tohmahan itu tidak buat lagi selepas ini. Harap orang faham saja.Suami saya seorang yang sangat baik dan penyayang. Hanya saya dan Allah SWT sahaja tahu.

Persepsi bila tengok wanita berkahwin dengan Nigeria, orang kita di sini akan mula fikir yang bukan-bukan terutama dari aspek imaginasi seksual. Apa komen Vicha?
Saya memang tak tahu kenapa orang di sini tak terima kalau wanita kahwin dengan lelaki Nigeria. Tetapi kalau di Indonesia, saya kenalkan pada keluarga dan semua, mereka okey.

Penerimaan kawan-kawan di sini pun pelik. Mereka fikir ke arah itu juga, sama ada scammer atau saya kahwin ini sebab ‘itu’.

Jangan fikir, kita perempuan ini nak kahwin cuma sebab itu ya! Susah nak terangkan pada ramai. Kita nak lelaki yang serasi, yang boleh jaga dan sayangkan kita

Rasa-rasa Vicha, orang yang ada persepsi begitu kerana mereka nak bergurau atau apa?
Sebenarnya saya pun rasa ia bermula dari gurauan tapi kemudiannya bertukar jadi satu stereotaip pula. Janganlah begitu. Rasanya semua orang tahu, jodoh, rezeki, ajal itu semua terletak di tangan Tuhan.