Malaysia Dateline

Nafi tolak tawaran Umno, Pas Johor kata belum ada rundingan agihan kerusi

Susulan kenyataan Pengerusi Umno Johor, Datuk Hasni Mohamad yang mempersoalkan kejujuran Pas dalam Muafakat Nasional (MN), Pas negeri itu menafikan.

Menurut Pesuruhjaya Pas Abdullah Husin setakat ini belum ada perundingan atau perbincangan dibuat bersama Umno Johor tentang pengagihan kerusi PRN Johor dan PRU 15 apa lagi menyatakan pendirian menolak tawaran kerusi DUN.

Terdahulu Husni mendakwa Pas menolak tawaran empat kerusi daripada Umno dan lebih tertarik kepada tawaran lima belas kerusi daripada Bersatu.

Menurut Abdullah dalam mendepani isu dan percaturan politik semasa Pas Johor sentiasa mengutamakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

“Perundingan dan musyawarah adalah keutamaan kita kerana ianya selari dengan kehendak Allah S.W.T demi melihat perpaduan di kalangan umat Islam akan terus diperkukuhkan.

“Sebagai rakan dalam Muafakat Nasional (MN), PAS Johor sentiasa berlapang dada dan terbuka untuk terus komited dengan usaha memperkukuhkan pemuafakatan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berharap apa jua isu berbangkit dapat diperbincangkan secara ukhuwwah melalui perundingan agar hubungan yang terbina akan terus terjaga.”

“Pendekatan ini penting bagi mengelakkan salah faham di samping ianya dapat mengelakkan andaian dan laporan yang mengelirukan di media sosial,” katanya lagi.

Beliau juga menegaskan Pas Johor juga menafikan keterlibatan dengan menyokong calon Berjasa dalam PRK Tanjung Piai bahkan jentera Pas Johor digerakkan sepenuhnya untuk berkempen dan menyokong calon BN daripada MCA pada ketika itu.

“Justeru PAS Johor sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha ke arah memperkukuh pemuafakatan ini demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.