Malaysia Dateline

“Nafkah isteri mesti beri duit sekelepuk”, ini satu lagi mitos undang-undang syariah

“Nafkah isteri mesti diberikan duit sekelepuk. Duit poket untuk isteri digunakan sesuka hati. Ini baru nafkah”.

Dalam hal ini, ramai yang keliru apa sebenarnya nafkah yang sepatutnya diberikan seorang suami kepada isteri. Adakah bentuk wang tunai itu ditetapkan dalam hukum dan undang-undang?

Menurut seorang Peguam Syarie, Syazmee Sapian, nafkah yang dikatakan mesti diberi dalam bentuk duit sebenarnya satu mitos yang cuba dikaitkan dengan undang-undang syariah.

Dia menegaskan bahawa nafkah isteri mengikut hukum dan undang-undang merangkumi 4 perkara iaitu; Makan minum, pakaian, tempat tinggal dan perubatan.

Justeru, duit poket tidak termasuk dalam nafkah.

“Banyak yang mengadu, mengatakan suami tidak memberikan nafkah kepadanya. Bila saya tanya barang dapur siapa yang beli? Katanya suami.

“Sewa rumah atau ansuran rumah dan bil utiliti siapa bayar? Katanya juga suami. Kalau sakit pergi klinik, siapa bayar? Jawabnya suami.

“Pergi shopping beli pakaian, siapa bayar? Suami juga katanya. Ha kalau dah begitu keadaannya, dikira suami tersebut telah memenuhi tanggungjawab memberikan nafkah.

“Tapi duit poket tak ada dia bagi? Duit poket bukan nafkah puan,” tegasnya.

Syazmee berkata, apabila seseorang suami itu tidak memberi nafkah, ini bermaksud dia tidak memberi duit poket, barang dapur pun tidak dibeli, bahkan sewa rumah, pakaian, sakit pening semua hanya isteri tanggung.

“Buat kaum suami, Ada 2 pilihan untuk menunaikan nafkah. Sama ada diri sendiri uruskan 4 perkara di atas atau berikan sahaja duit untuk kaum isteri belikan 4 perkara di atas.

“Suami yang kerja keras dengan ikhlas dan niat untuk menafkahi ahli keluarga, percayalah, rezeki sentiasa dicukupkan.

“Isteri dan anak-anak itu pintu-pintu rezeki. Usaha keras dan keikhlasan kita kaum suami itulah kunci kepada pintu-pintu tersebut,” tulisnya.

Baca juga: “Salah ni prinsip ’rounding’ dia”- Lagi kes 5 sen, suka hati je kedai genapkan jadi 10 sen

Baca juga: Apa ada dalam poket rakyat yang terjejas teruk? – Pakar anggap hal ini hilang dari radar TikTok Menteri Kewangan, ucaptama Gabenor