AS keluar TPP: Nafta antara pilihan selain RCEP

AS keluar TPP: Nafta antara pilihan selain RCEP

 

Selain Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) Malaysia perlu melihat kemungkinan berlaku rundingan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta) yang membuka satu lagi peluang perdagangan ke Amerika Syarikat (AS).

 

Selain Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) Malaysia perlu melihat kemungkinan berlaku rundingan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta) yang membuka satu lagi peluang perdagangan ke Amerika Syarikat (AS).

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam kempennya menyebut beliau menentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) kerana beranggapan TPP akan menjejaskan peluang pekerjaan di AS telah berikrar untuk mengadakan rundingan semula Nafta dengan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan Presiden Mexico Enrique Neito.

Namun reaksi Malaysia terhadap kenyataan Trump ini, telah mengambil langkah untuk terus bekerjasama dengan 10 negara Asean dan 6 rakan perdagangan serantau yang lain di dalam rundingan RCEP.

Manakala bagi 11 negara ahli belum lagi memuktamadkan sama ada untuk meneruskan TPP tanpa AS atau mengabaikan perjanjian itu sama sekali.

Ini kerana RCEP dilihat sebagai satu inisiatif yang akan mewujudkan zon dagangan bebas terbesar di dunia. Negara ahli menyumbang 46 peratus daripada populasi dunia yang bernilai 24 peratus daripada KDNK dunia.

Firdaos RosliFellow Ekonomi Institut Kajian Strategi Antarabangsa (Isis) Firdaos Rosli berkata, berkemungkinan akan berlaku rundingan baru “Nafta 2.0” di era Trump.

Jika TPP tidak diteruskan oleh 11 negara lain selain AS, rundingan semula ini akan dilihat sebagai penanda aras kepada rundingan perjanjian bebas yang melibatkan AS pada masa akan datang.

Nafta yang dianggotai tiga negara iaitu AS, Kanada dan Mexico adalah perjanjian yang ditandatangani ketika pemerintahan Presiden George Bush pada 1994.

Katanya AS sebagai sebuah negara pengimport terbesar dunia tidak mudah untuk menolak 11 negara ahli TPP kerana dasar ekonomi AS yang sememangnya menjurus ke arah pembukaan pasaran.

Bezanya dengan pentadbiran Obama yang lalu, Trump berkemungkinan mahu dasar perdagangan antarabangsanya bermula daripada rundingan semula Nafta dan bukannya daripada TPP.

Tanpa TPP bagi 11 negara lain tiada lonjakan ekonomi berlaku sebaliknya tanpa TPP juga memberi kesan perdagangan kepada AS.

Justeru Firdaos menekankan perlunya Malaysia meneruskan proses ratifikasi terhadap 18 daripada 22 akta dan enekmen berkaitan TPP yang diluluskan Parlimen sebagaimana sedang dilakukan negara Jepun.

Selain Canada dan Mexico, Singapura, Australia, New Zealand, Chile dan Peru ujarnya sudahpun memiliki FTA dengan AS berbanding Malaysia.

“Malaysia adalah negara perdagangan kecil dan memerlukan kepelbagaian dalam perjanjian perdagangannya.

“Jika ada ratifikasi yang perlu diubah ia perlu diteruskan tidak perlu tunggu sama ada AS akan keluar dari TPP atau sebaliknya.

“Rundingan semula Nafta akan mengambil masa dan kita tidak tahu bagaimana hasilnya kelak. Sekiranya ada peluang untuk negara ahli TPP untuk menyertai Nafta kemudian hari, Malaysia tidak lagi perlu melalui proses yang sama semula. Jika ada sekali pun hanya penambahan kecil.

“Ini kerana banyak undang-undang lapuk perlu diubah untuk selarikan dengan piawaian global” ujarnya.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam kempennya menyebut beliau menentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) kerana beranggapan TPP akan menjejaskan peluang pekerjaan di AS telah berikrar untuk mengadakan rundingan semula Nafta.

Menurut Firdaos lagi, TPP dan RCEP adalah dua perjanjian berbeza dan tidak memberikan saingan begitu juga antara RCEP dan Nafta.

RCEP katanya adalah konsolidasi beberapa FTA membabitkan negara Asean sebelum ini kemudian dikenali sebagai RCEP.

“TPP dan RCEP dua perjanjian perdagangan yang berbeza dari kualiti dan negara ahli. RCEP jika dimuktamadkan 10 negara ia akan menjadi salah satu perjanjian perdagangan terbesar di dunia.

“Namun dalam RCEP kualiti dari segi penawaran buruh tidak setinggi TPP yang mana TPP mengharuskan negara ahli mengikuti obligasi Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO).

“Selain itu, perolehan kerajaan dan syarikat pegangan kerajaan (GLC) obligasi TPP lebih tinggi berbanding RCEP,” ujarnya memberikan contoh antara perbezaan dua perjanjian tersebut.

Justeru katanya, sekiranya AS membuat sesuatu perjanjian baru Nafta 2.0 ujarnya, bagi negara yang sudah mempunyai FTA dengan AS lebih senang dari negara lain yang tidak menyertai TPP seperti Thailand dan Indonesia.

“Bukanlah bermakna persaingan wujud antara TPP dan RCEP tetapi dengan adanya TPP ia satu lonjakan ekonomi Malaysia.

“Sebaliknya RCEP tiada lonjakan ekonomi kerana Malaysia sudah ada perjanjian FTA dengan Jepun dan juga kebanyakan negara anggota RCEP. Tetapi untuk melebarkan ekonomi Malaysia ke AS, Kanada dan Mexico yang mana KDNK globalnya lebih trilion dollar AS, sebenarnya kita memerlukan negara-negara Nafta dan RCEP.

“Malaysia adalah negara kecil dan tidak boleh bergantung kepada satu blok perdagangan sahaja negara perlu bergantung kepada banyak negara perdagangan lain,” ujarnya.

Ditanya mengenai sejauhmana pendirian kerajaan terhadap Nafta ekoran tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan melainkan RCEP sebagai pilihan sekiranya AS keluar dari TPP.

Firdaos berkata, kerajaan sudah pasti hanya boleh melakukan sesuatu apabila Trump mengotakan apa yang beliau ikrarkan dalam kempen pilihan rayanya.

“Mungkin ia hanya retorik pilihan raya Trump menolak TPP kemudiannya beliau mahu mengadakan rundingan semula TPP melalui perjanjian semula Nafta.

“Sedangkan RCEP sudah berlangsung antara 16 negara ahli. Mungkin Malaysia perlu melihat Nafta dengan ‘sebelah mata’ supaya kita dapat kenalpasti apa yang kita perlu lakukan setelah AS menarik diri daripada TPP.

“Persoalaannya adakah rundingan semula Nafta itu akan membawa kepada penyertaan negara lain kelak? Jika ianya dibuka ini bermaksud pintu masuk untuk mengadakan FTA dengan AS akan hanya dapat dilaksanakan melalui Nafta.

“Oleh itu proses ratifikasi yang telahpun dirancang oleh kerajaan perlu diteruskan pada kadar yang segera supaya kita terus memperoleh pilihan yang bersesuaian dengan perkembangan perdagangan global yang melibatkan AS ataupun Nafta” ujarnya.

Retorik kempen pilihan raya Donald Trump: Kerajaan sudah pasti hanya boleh melakukan sesuatu apabila Trump mengotakan apa yang beliau ikrarkan dalam kempen pilihan rayanya.

 

TAGS