Nahas helikopter: TLDM hantar tim penyelamat Sabah, tahlil di kediaman keluarga Noriah malam ini

Nahas helikopter: TLDM hantar tim penyelamat Sabah, tahlil di kediaman keluarga Noriah malam ini

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghantar Tim Penyelam TLDM dari Sepanggar, Sabah, ke Kuching, Sarawak bagi membantu operasi mencari dan menyelamat helikopter Eurocopter AS350 yang dipercayai terhempas ketika dalam perjalanan dari Betong ke Kuching, semalam.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata pasukan itu digerakkan pada kira-kira pukul 3 petang ini.

“Tim penyelam TLDM yang diatur gerak ke Kuching telah dilengkapi dengan peralatan salvej bagi mengesan helikopter berkenaan yang dilaporkan hilang,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohamad pula berkata, buat masa ini usaha pencarian melalui unit udara dan pengunaan pesawat dari unit udara bomba dan penyelamat dan unit udara polis telah dikerah di kawasan kejadian.

Turut mengarahkan empat bot melakukan pencarian untuk fokus kepada kawasan 4 kilometer radius daripada penemuan mayat pertama.

“Kita cuba sedaya upaya namun melihat kepada lokasi serpihan tadi berkemungkinan badan helikopter berada di dalam air,keadaan masih air pasang.

“Kita jangkakan pencarian sukar kerana kawasan air berubah namun begitu kita bersetuju untuk meningkatkan konsentrasi pada malam ini apabila air surut penuh berlaku 11.00 malam untuk memikirkan skop pencarian di lokasi pelancaran utama,” ujarnya dalam temubual langsung dengan TV3.

Ucapan  takziah kepada keluarga Allahyarham Noriah Kasnon sudahpun menjadi viral di media sosial dengan berita penemuan pertama mayat wanita.Helikopter itu berlepas dari Betong pada 4.12 petang dalam penerbangan ke Kuching dan kali terakhir berhubung dengan menara kawalan pada 4.15 petang, setelah tiga minit berlepas.

Serpihan helikopter yang dinaiki enam penumpang itu termasuk Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon ditemui pagi ini.

Mayat seorang wanita ditemui pasukan penyelamat mencari helikopter hilang itu di tebing sungai Batang Lupar tengah hari tadi.

Nor Hisham seperti dilapor, telah mengesahkan mayat mangsa kejadian itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.

“Mayat mangsa akan dibawa naik ke darat dari lokasi penemuan sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sebuyau untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Kosmo online.

Mayat kemudian dibawa menaiki helikopter mendarat di padang bolasepak Ibu pejabat polis kontinjen Sarawak dan dibawa ke jabatan perubatan forensik Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

Turut kelihatan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim dan kira 15 minit kemudian Panglima Pemerintahan Timur Datuk Mohamad Zaki Mokhtar tiba, diikuti isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansordan anak-anak serta ahli keluarga terdekat.

Jurucakap polis Kuching dipetik berkata, mayat dibawa menaiki helikopter dan mendarat di padang bola sepak ini akan disembahyangkan di ibu pejabat polis kontinjen Sarawak selepas selesai bedah siasat.

Manakala di Sungai Burong Tanjung Karang dijadualkan majlis tahlil akan diadakan di rumah keluarga Datuk Noriah Kasnon di Batu 12 Sungai Burong selepas Isyak malam ini.

TAGS