Nahas LRT: Pasukan petugas khas mesti dianggotai pakar bebas

Oleh Oleh ARIF ATAN

Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menggesa agar pasukan petugas khas untuk menyiasat punca nahas membabitkan pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) malam tadi dianggotai pakar-pakar bebas.

Ahli Parlimen Seremban dari DAP itu berkata, pakar-pakar bebas dalam bidang tren itu perlu diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat semua aspek dalam kemalangan yang menyebabkan 47 mangsa cedera parah itu.

“Memandangkan kejadian ini menyebabkan kecederaan orang awam, saya menyeru pihak polis membuat siasatan secara mendalam dan sekiranya ia melibatkan kecuaian manusia, tindakan pendakwaan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 mesti diambil segera,” katanya dalam kenyataan segera malam tadi.

Beliau turut menambah laporan pasukan petugas khas mesti diumumkan secara telus kepada orang ramai dan tindakan susulan untuk memperbaiki segala kelemahan mesti diambil serta-merta.

Langkah itu, jelasnya, demi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap aspek keselamatan dalam sistem pengangkutan awam negara.

Dalam masa sama, Loke juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pasukan penyelamat yang terdiri daripada pihak bomba, pihak polis dan para petugas kecemasan dari hospital berdekatan yang berjaya menyelamatkan semua mangsa terbabit.

Kira-kira jam 8.45 malam tadi, dua tren LRT bertembung akibat brek mengejut dalam terowong berdekatan stesen KLCC dan Kampung Bharu.

Seramai 166 mangsa cedera ringan dalam nahas terburuk sejarah LRT sejak beroperasi pada tahun 1998.