Malaysia Dateline

Nahas pesawat pejuang TUDM, polis klasifikasikan sebagai mati mengejut

Siasatan awal mendapati pesawat BAE Hawk 108 yang terhempas di Pengkalan Udara TUDM Butterworth melibatkan dua mangsa telah berlepas daripada lapangan terbang tersebut bagi melaksanakan latihan ‘night flying’.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Suhaily Mohd Zain dalam kenyataan beliau pada Khamis berkata sesi latihan tersebut berlangsung selama satu jam di ruang udara Pengkalan Udara Butterworth.

“Pada jam 10.07 malam pesawat tersebut dilaporkan terhempas di atas lapangan terbang Pengkalan Udara Butterworth dan menyebabkan letupan.

“Manakala kedua-dua juruterbang tersebut sempat keluar dari pesawat dengan menggunakan kerusi anjal. Seorang daripadanya telah meninggal dunia ditempat kejadian manakala seorang lagi menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

“Mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang dan bedah siasat telah dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik Pulau Pinang mendapati punca kematian adalah disebabkan pelbagai kecederaan yang konsisten dengan nahas udara,” ujar beliau.

Tambah beliau, keterangan keatas juruterbang yang terselamat masih belum diperolehi kerana beliau sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya dan pihak polis telah mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut (sudden death report) dan siasatan terperinci mengenai insiden tersebut masih dijalankan.