Malaysia Dateline

Nahas tren: Pecat sekali Wee Ka Siong, kata Adun

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sepatutnya dipecat sekali bersama-sama dengan Ahli Parlimen Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Adun Durian Tunggal, Datuk Sofi Wahab berkata, kemalangan LRT laluan Kelana Jaya di KLCC itu jelas membuktikan kegagalan menteri berkenaan memastikan pengangkutan awam di negara ini selamat.

Menurutnya, Wee tidak boleh ‘lepas tangan’ begitu sahaja dengan meletakkan Tajuddin sebagai kambing hitam.

“Bagi saya bukan sahaja Tajuddin Abdul Rahman yang dipecat tetapi Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong juga mesti dipecat sama.

“Tajuddin hanya menjadi Pengerusi Prasarana, syarikat yang mengendalikan Tren.

“Tetapi Wee punya tanggungjawab lebih besar iaitu mengawal dan menggubal undang-undang, polisi dan penguatkuasaan sistem pengangkutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sofi berkata, sebagai menteri beliau wajib memastikan agensi pengawal selia pengangkutan darat iaitu APAD dan lain-lain jabatan dapat berfungsi dengan baik dan effektif bagi memastikan semua jenis pengangkutan selamat untuk digunakan.

Jelasnya, menteri tidak boleh sekadar memohon maaf tetapi tidak berani bertanggungjawab atas kemalangan yang dahsyat itu.

“Isu ini jelas menjadi satu lagi koleksi siri kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Jika beliau tidak memecat Wee Ka Siong bermakna beliau redha dengan kelemahan dan kegagalan serta kelemahan menteri berkenaan,” katanya lagi.