Malaysia Dateline

Naib Ketua AMK Kedah cipta sejarah penerima pertama vaksin Covid-19

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencipta sejarah tersendiri apabila anggotanya menjadi penerima sulung suntikan vaksin Covid-19 bagi Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin Covid-19.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir semalam memberitahu, Naib Ketua AMK Kedah, Adam Loh dan BK Tan dari AMK Sungai Petani menjadi individu yang pertama dan kedua di negara ini yang menerima suntikan itu.

“Mereka telah mengambil inisiatif dengan menawarkan diri sebagai sukarelawan kajian ini dan berani mengambil risiko supaya negara kita dapat mencari vaksin yang selamat dan berkesan demi melindungi orang ramai daripada Covid-19,” katanya.

Menurut Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, fasa pada masa ini adalah pusingan terakhir ujian sebelum sebarang vaksin atau ubat diluluskan untuk kegunaan umum.

“AMK Malaysia merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih buat saudara Adam Loh dan BK Tan atas pengorbanan yang diberikan.

“Sama-sama kita doakan agar usaha ini berjaya,” tambahnya lagi.

Adam Loh

Sementara itu, Adam Loh berkata, beliau menawarkan diri sebagai sukarelawan kajian kerana yakin hanya dengan vaksin dapat melawan pandemik tersebut.

“Walaupun ia hanya kajian dan belum diluluskan sepenuhnya, dengan sumbangan kecil ini ia dapat mempercepatkan perkembangan penerimaan vaksin di Malaysia.

“Kita jangan putus ada dan yakin virus ini dapat diatasi,” kataya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Loh dan BK Tan antara kumpulan 62 sukarelawan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani yang menerima suntikan bagi kajian tersebut semalam.

Mereka adalah sebahagian daripada 375 sukarelawan berumur 18 tahun ke atas bagi proses penerimaan suntikan kajian klinikal vaksin Covid-19 di hospital itu.

Suntikan kedua akan diadakan dalam masa 14 hari dan sukarelawan terbabit akan dipantau setiap minggu selama enam minggu.

Selepas enam minggu, mereka akan dihubungi melalui telefon dua minggu sekali sehingga tempoh setahun.

BK Tan dari AMK Sungai Petani menjadi individu kedua di negara ini yang menerima suntikan vaksin Covid-19.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu kenyataan sebelum ini menyatakan Kajian Klinikal Fasa 3 adalah kerjasama antara Malaysia dan China menerusi Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS).

Kajian sama turut dijalankan di Brazil selain Kajian Klinikal Fasa 1 dan 2 dilakukan di China.

Vaksin kajian itu menggunakan platform vaksin tidak aktif yang diperbuat daripada virus yang sudah dimatikan.

Kira-kira 3,000 sukarelawan di seluruh negara akan menerima suntikan di sembilan hospital KKM yang dijadikan tapak kajian di bawah seliaan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM iaitu HSAH, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan Hospital Taiping.

Turut terlibat Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Seberang Jaya, Hospital Pulau Pinang, Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Umum Sarawak.