Naib Ketua Pemuda Umno dicabar ulang tuduhan di luar Dewan Negara

Naib Ketua Pemuda Umno dicabar ulang tuduhan di luar Dewan Negara

Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun dicabar mengulangi tuduhannya terhadap Invoke di luar Dewan Negara dan tidak berselindung di sebalik ‘kekebalan’ parlimen bagi melemparkan tohmahan tidak berasas terhadap Invoke.

Malah tindakan pemimpin Pemuda Umno yang sengaja melemparkan tuduhan palsu dengan mendapat liputan meluas media pro-BN dan Bernama dipercayai bertujuan melumpuhkan operasi Invoke menjelang pilihan raya.

“Ugutan ke atas Invoke adalah untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak terus tampil menjadi sukarelawan kerana Umno bimbang dokongan rakyat yang menjadi sukarelawan Invoke akan menyukarkan sebarang usaha penipuan pilihan raya,” kata pengasas Invoke Rafizi Ramli.

Invoke kini, ujar beliau mempunyai 25,000 sukarelawan yang giat dilatih untuk menjadi ejen kira undi bagi calon-calon PH.

Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan berkata, sebahagian ucapan Khairul Azwan di Dewan Negara 27 Mac lalu telah dijadikan bahan berita oleh TV3 dan disiarkan di dalam berita-berita rangkaian Media Prima, selain dimuatnaik di laman Facebook TV3 sebagai buletin berita.

“Ucapan Khairul Azwan Harun (foto) itu turut dilaporkan oleh Bernama dan disiarkan di laman-laman berita, seperti laporan Malaysiakini.

“Semalam Pemuda Umno telah membuat laporan polis dan kepada pihak berkuasa berkenaan agar Invoke disiasat, berdasarkan ucapan yang dibuat oleh Khairul Azwan Harun,” ujar Rafizi.

Sehubungan itu beliau dengan tegas menafikan tuduhan palsu dibuat Khairul Azwan kononnya operasi Invoke dibiayai dana asing dan pemimpin Israel.

“Invoke tidak pernah menerima satu sen pun dari mana-mana badan baik dari dalam dan luar negara. Invoke dibiayai sepenuhnya oleh ribuan rakyat Malaysia yang melanggan khidmat kami atau membeli tiket-tiket/barang kempen yang dijual untuk membiayai operasi Invoke,” tegas Rafizi.

Menurut beliau, Invoke telah pun menyiarkan secara terperinci senarai pelanggan dan pembeli yang telah menyumbang kepada Invoke, yang secara jelas menunjukkan ribuan rakyat Malaysia membiayai operasinya.

Invoke juga, tambah Rafizi telah mematuhi segala peraturan dan undang-undang berhubung operasinya seperti mana diamalkan badan-badan kaji selidik yang lain seperti Merdeka Centre, Centre for Strategic Engagement (CENSE) dan lain-lain.

“Invoke tidak pernah ada sebarang hubungan dengan mana-mana pihak yang ada hubungan dengan rejim Israel, seperti yang didakwa oleh Khairul Azwan Harun,” tegas beliau lagi.

Sehubungan itu, Rafizi mencabar Khairul Azwan mengulangi tuduhannya di luar Dewan Negara supaya beliau boleh mengambil tindakan saman terhadap pemimpin Pemuda Umno itu.

Naib Presiden PKR itu juga telah meminta pasukan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Khairul Azwan dan TV3 yang secara jelas telah memfitnah Invoke dengan membuat laporan palsu kononnya ia dibiayai badan asing.

9.0
OVERALL SCORE
: 7.0
2 user votes x 10.0