Naib Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh lepas semua jawatan

Naib Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh lepas semua jawatan

Naib Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Abdul Aziz Shaik Ahmad (gambar atas) melepaskan semua jawatan yang disandangnya dalam parti.

Menurut beliau lagi, tindakan tersebut adalah atas kesedarannya merasakan bertanggungjawab atas kekalahan semua calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan Ketua Umno Cawangan Permatang Janggus, Permatang Pauh, turut berkata, keputusan yang telah diambil adalah untuk kebaikan bersama.

“Keputusan berat yang diambil ini setelah mengambil kira segala aspek demi kebaikan semua pihak.

“Sejak lima tahun yang lalu saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab serta amanah sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh walaupun terdapat pelbagai tekanan daripada pelbagai pihak.

“Sebaliknya dalam PRU14 yang lalu, khidmat terus diberikan bagi membantu calon BN untuk memastikan jentera parti dapat terus bergerak bagi melakar sejarah kemenangan,” ujarnya semalam.

Dalam PRU14 baru-baru ini semua calon BN bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) dengan pukulan 4-0.

Nurul Izzah Anwar berjaya mengalahkan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said dengan majoriti sebanyak 15,668 undi.

Norlela (kanan sekali) Nurul Izzah, Afif dan Faiz.

Manakala Ketua Pemuda Umno Bahagian, Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin turut dikalahkan apabila hanya berjaya meraih sokongan 8593 undi bagi kerusi Dun Seberang Jaya.

Sedangkan lawannya Dr Afif Bahardin mampu mendapat kemenangan dengan memperolehi sebanyak 16,014 undi.

Untuk kerusi Dun Penanti pula calon BN, Suhaimi Sabudin juga kalah dengan mendapat hanya 5,277 undi apabila ia kecundang ditangan Dr Norlela Ariffin yang memperolehi sejumlah 8,221 undi.

Bagi kerusi Dun Permatang Pasir pula, calon BN Permatang Pauh, Anuar Faisal Yahaya turut kalah apabila ia hanya berjaya mendapat sebanyak 4,979.

Lawannya Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil menang dengan undi yang diperolehi sebanyak 9,708 undi setelah turut menewaskan calon Pas yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Negeri Pulau Pinang.

CATEGORIES