Naib Presiden Pas sertai Deklarasi Rakyat di Shah Alam

Naib Presiden Pas sertai Deklarasi Rakyat di Shah Alam

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Samad akan menyertai pentas himpunan Deklarasi Rakyat yang akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam Sabtu ini.

Menurut poster program yang diedarkan itu, Iskandar, Exco Kerajaan Negeri Selangor itu akan menyertai Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali dan Tun Dr Mahathir Mohamad di majlis itu.

Ini adalah satu berita baik kerana sebelum ini hanya seorang sahaja pemimpin kanan Pas yang menyertai program ini iaitu Datuk Mustafa Ali, pengarah pilihan raya Pas.

Mustafa adalah antara 25 pemimpin pertama yang menandatangani deklarasi ini ketika ia mula dilancarkan.

Ekoran itu, bekas ketua penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar mengucapkan tahniah kepada Iskandar kerana menyertai usaha untuk menyelamatkan Malaysia itu.

“Alhamdulillah, YB Datuk Iskandar Naib Presiden Pas menjejaki saya yang lebih dahulu bersama dipentas selamatkan Malaysia bersama Tun M dan rakan-rakan dari pelbagai latar belakang politik untuk menuntut Najib berundur dari jawatan PM sekarang.

“Tahniah YB Datuk Iskandar,” tulis Mahfuz melalui Facebooknya.

Himpunan di Shah Alam adalah siri himpunan jelajah seluruh negara yang dianjurkan oleh gerakan Selamatkan Malaysia pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini mereka telah berhimpun di Kota Bharu, Muar, Alor Setar, Pulau Pinang dan lain-lain tempat lagi.

Kemuncak adalah penghantaran Deklarasi Rakyat yang mengandungi 37 perkara ini kepada Majlis Raja-raja Melayu memohon perkenan baginda agar menasihatkan Datuk Seri Najib Razak agar berundur sebagai perdana menteri.

TAGS