Malaysia Dateline

Naib Presiden Pas terkena pukauan MCA, tertelan kail Umno

Pemimpin kanan sebuah parti berlabel Islam sepatutnya membawa idea-idea keharmonian dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama, tegas Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin.

Walau bagaimanapun, katanya, apabila seorang Naib Presiden Pas berpolitik dengan memainkan sentimen perkauman kedudukannya seperti seorang penyokong parti yang taksub atau digelar walaun.

“Walaupun dia Naib Presiden, tapi gaya fikir dia setaraf walaun. Dia berpolitik dengan mainkan sentimen perkauman. Dia dah lupa ke hadith asabiah?” soal Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu.

Beliau dipercayai mengulas reaksi Naib Presiden Pas, Idris Ahmad kelmarin yang menganggap Melayu yang berani melawan DAP sebagai berprinsip manakala mereka yang bersekongkol dan mengikut telunjuk parti itu sebagai Melayu bacul.

Idris menyanggah kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 Mei lalu yang menggelarkan orang Melayu sekarang menjadi bacul kerana takut kepada DAP, sehingga sanggup memilih penyangak sebagai pemimpin.

Mengulas lanjut Ustaz Zolkharnain berkata, Naib Presiden Pas itu benar-benar dipukau MCA dan dalam masa masa telah terpancing dengan Umno.

“Dia dah betul-betul terkena pukauan MCA. Semua perkara yang MCA buat dia tak komplen termasuk tak mahu negara ini dikenali negara Melayu Islam.

“Dia dah tertelan kail Umno sampai ke usus. Dulu dia kata, nak lawan Umno belajarlah daripada Pas. Hari ini mungkin dia boleh kata, nak telan kail Umno belajarlah daripada saya.

“Cara berfikir dia sudah lebih Umno daripada Umno. Dulu dia kata, kerja saya lawan Umno. Kini mungkin dia boleh kata, kerja saya gilap (nak baca jilat pun boleh) Umno,” bidas Ustaz Zolkharnain dipetik dari Facebook miliknya.

Beliau juga secara sinis menyarankan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikan sebarang jawatan kepada pemimpin kanan Pa itu.

“PN dah jadi kerajaan, berilah apa-apa jawatan sesuai bergaji kepada dia. Takkan nak biarkan pemimpin kanan Pas tak dapat apa-apa,” tempelaknya lagi.