Malaysia Dateline

Naib Presiden PKR nafi ada sabotaj dalam pemilihan

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Xavier Jayakumar menolak dakwaan bahawa terdapat unsur sabotaj dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Katanya, kekecohan di beberapa kawasan di Kedah dan Pulau Pinang bukan kerana faktor itu sebaliknya berpunca daripada kelemahan sistem e-undi yang pertama kali diperkenalkan untuk proses pengundian dan akan ditanggani Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dalam masa terdekat.

“Insiden ini berlaku disebabkan masalah sistem bukan kerana mereka tidak diberitahu atau berpeluang untuk mengundi, mereka datang pagi tetapi tidak dapat mengundi.

“Kalau sistem sudah dibaikki mungkin tidak ada masalah untuk teruskan dengan pengundian,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan International Union For Conservation Of Nature (IUCN) Symposium And Red List Assessment 2018 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Kelmarin, proses pemilihan PKR bagi sembilan daripada 15 cabang di Kedah terpaksa ditunda ke satu tarikh lain berikutan sistem e-undi yang pertama kali digunakan untuk membolehkan 800,000 ahlinya mengundi, mengalami masalah teknikal.

Ia mengakibatkan tercetusnya pergaduhan setelah anggota yang hadir naik berang dipercayai kerana menunggu terlalu lama.

Susulan itu, proses pemilihan parti bagi negeri Perlis yang dijadual berlangsung semalam terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain yang akan ditentukan kelak.