Hanya kerana minuman dipesan lambat sampai, seorang lelaki naik berang sebelum bertindak menumbuk muka pekerja di sebuah restoran asam pedas, dua minggu lalu.
Lelaki berstatus duda yang bakal berkahwin tidak lama lagi itu dikatakan menumbuk muka pekerja restoran terbabit sebanyak dua kali dan sekali di bahagian telinga kiri.
Perbuatannya menyebabkan telinga kiri pekerja itu berdarah, manakala pipi dan jari tangan kanan mangsa juga bengkak kerana cuba menghalang muka dari ditumbuk.
Akibat daripada perbuatan itu, Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka menjatuhkan hukuman denda RM1,000 selepas lelaki berkenaan membuat pengakuan bersalah.
Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas tertuduh iaitu Setia Maidin, 49, mengaku bersalah susulan pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, Setia Maidin didapati dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap seorang pekerja warganegara Bangladesh berusia 43 tahun.
Memetik laporan Sinar Harian, kesalahan itu dilakukan tertuduh di Gerai Nora Asam Pedas, Medan Selera Semabok, Melaka sekitar jam 12 tengah hari, 22 September lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, peguam yang mewakili Setia Maidin iaitu Umar Zulkarnain merayu agar hukuman diringankan dengan alasan tertuduh telah insaf selain hanya bekerja sebagai pemandu lori sambilan dengan gaji RM9 sejam.
Duda itu juga telah merancang untuk melangsungkan perkahwinan baharunya pada hujung tahun ini dan perlu menanggung anaknya berusia 12 tahun yang masih bersekolah.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan msyarakat.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintah agar tertuduh membayar denda RM1,000 atau penjara satu bulan jika gagal membuat bayaran.
Baca juga: Menakutkan! Perompak selamba larikan kereta, tak takut walaupun tuan rumah ada