Naik berang ditegur pekerja restoran kerana merokok, pelanggan campak cawan kaca

Oleh WAN SITI AMINAH

Hanya kerana ditegur pekerja restoran, seorang pelanggan tiba-tiba naik berang sebelum mencampak cawan ke lantai premis berkenaan sehingga pecah berderai.

Kejadian difahamkan berpunca dari pelanggan terbabit yang tidak dapat menerima teguran pekerja restoran untuk berhenti menghisap rokok dalam premis berkenaan.

Seakan langsung tidak merasa bersalah, pelanggan terbabit bersama seorang lagi rakannya kemudian beredar daripada restoran selepas cawan dicampaknya pecah.

Insiden yang dikatakan berlaku di sebuah restoran terletak di Taman Seremban Jaya, Seremban, Negeri Sembilan itu sempat dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV).

Rakaman CCTV yang berdurasi dua minit 20 saat itu kemudian tersebar di platform media sosial termasuk laman X selepas dimuat naik oleh salah seorang pengguna.

“Marah apabila ditegur untuk jangan merokok. Masih juga merokok di dalam premis restoran. Selepas itu, pecahkan cawan kopi macam itu sahaja. Lokasi restoran di Seremban Jaya,” kata pengguna berkenaan.

Setakat artikel ini ditulis, rakaman itu sudah meraih sekitar 70,200 tontonan dengan rata-ratanya menyelar tindakan pelanggan berkenaan yang merokok di dalam restoran.

Beberapa individu juga turut berkongsi pendapat bahawa pelanggan itu seharusnya makan atau minum di rumah sahaja sekiranya enggan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Hebat betul. Sudahlah buat salah, selepas itu pecahkan cawan macam nak tunjuk dia hero. Kalau susah sangat nak ikut peraturan, baik lepak rumah sahaja,” kata seorang pengguna.

“Baguslah pekerja itu datang tegur dahulu, kalau dia terus hubungi pihak berkuasa, saman yang kau dapat.” Kesal pengguna lain yang tidak bersetuju dengan tindakan pelanggan berkenaan.

Baca juga: Pemuda ini dedah kenapa flat dihuni kaum Cina lebih bersih, flat Melayu pula kotor