Naik BR1M bukti Najib sedang terdesak, kata calon PH

Faiz, Kak Wan dan Norlela menunjukkan bukti mereka telah mengundi Permatang Pauh.

 

Pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak kenaikan seratus peratus bantuan BR1M pada saat-saat akhir hari pengundian dengan jelas membuktikan bahawa Umno dan BN menyedari mereka sedang berada dalam keadaan terdesak.

Demikian dinyatakan oleh calon Pakatan Harapan (PH) Dun Permatang Pasir, Faiz Fadzil ketika ditemui selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bukit Indera Muda pagi tadi.

Jelas Faiz lagi, tawaran yang terdesak tersebut membuktikan bahawa Najib menyedari kekalahan yang akan mereka perolehi.

Oleh kerana itu tawaran demi tawaran pada saat-saat akhir tersebut menyerlahkan lagi kegawatan yang sedang dirasai oleh Umno dan BN.

“Semasa ini Najib telah menyatakan bahawa BN menawarkan kenaikan BR1M.

“Kini selagi lagi ia ditawarkan dengan lebih tinggi sehari sebelum hari pengundian.

“Secara jelas ia membuktikan mereka tahu rakyat tidak bersama mereka lagi, ” ujarnya.

Manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah ketika ditemui selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Penanti, Permatang Pauh pula berkata, pilihan raya umum (PRU) kali ini adalah yang paling sengit sekali.

Tegasnya lagi, sejak merdeka lagi kerajaan yang memerintah belum pernah bertukar tangan.

Sehubungan itu katanya, perubahan yang amat diharapkan oleh rakyat negara ini pada kali ini harus menjadi realiti.

“Taktik-taktik kotor tidak lagi perlu digunakan untuk menyekat rakyat maupun kemaraan PH.

“Najib harus akur dengan kehendak amalan demokrasi apabila rakyat menolak kerajaan sedia ada.

“Tidak sepatutnya ugutan dan kekangan dengan apa jua cara dilakukan bagi menghalang kebangkitan rakyat dalam PRU kali ini, ” tegasnya lagi.

Malah katanya, semua pihak termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti telus melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan tidak berpihak kepada mana-mana pihak.

Suasana pengundian sekitar Permatang Pauh berjalan dengan lancar dengan pengundi telah menanti lebih awal sebelum pusat pengundian dibuka.

7.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 4.0