Ekzema adalah sejenis penyakit keradangan kulit yang berkait rapat dengan faktor genetik dan kerap berlaku dalam kalangan ahli keluarga yang sama.
Penghidap ekzema bertindak balas pada sistem keimunan dengan cara berbeza hingga menyebabkan kulit hilang fungsi sebagai pelindung, berlaku alahan dan kerengsaan.
Antara sifat utama penyakit ini ialah kulit berasa sangat gatal, merah, tumbuh ruam berbiji atau berair pada bahagian muka, kulit yang berlipat seperti leher, depan siku dan pelipat lutut.
Kedengaran mengerikan, pengalaman itu turut dialami oleh anak seorang wanita yang menjalankan perniagaan roti secara sambilan dikenali sebagai Wan Zahayu.
Menerusi perkongsian di laman TikTok, Wan Zahayu memaklumkan bahawa penyakit kulit yang menimpa anak perempuannya itu mula disedari ketika berusia tiga bulan.
“Masa ini pergi klinik dan sapu ubat yang doktor bagi. Tetapi tiada perubahan. Dia garu sampai berdarah, paling teruk bahagian muka di keliling mulut. Kalau keluar jalan mesti orang tegur kenapa muka macam itu.
“Dari klinik kerajaan sampai swasta kami pergi. Macam-macam ubat sapu cuba. Dari yang murah sampai mahal, tetap juga sama. Kalau elok pun bertahan 2 atau 3 hari sahaja,” ceritanya.
Tidak sampai hati melihat penderitaan yang dialami anaknya, Wan Zahayu memutuskan untuk mencuba mengubati ekzema menggunakan kaedah perubatan Islam dan tradisional.
“Jumpa orang Bujang kahwin dengan Janda, katanya boleh baik. Selepas itu ada seorang pak cik tegur nampak sesuatu duduk dekat Aysha, nak cuba tolong buang.
“Tetapi sama juga. Nak dapatkan anak perempuan punya lama menunggu. Koyak belakang telinga kiri dan kanan. Orang berubat cakap ‘benda itu’ suka tempat tersorok.
“Katanya ‘benda itu’ berkenan masa Aysha dalam perut. Kiranya aku pernah terlanggar masa mengandung,” ulasnya yang turut menukar susu formula sebagai ikhtiar menyembuhkan ekzema anak.
Puas mencuba pelbagai cara, wanita berusia 36 tahun itu akhirnya memuat naik hantaran di laman Facebook bagi meminta cadangan mengenai klinik yang bagus dalam merawat ekzema.
Rata-rata pengguna mencadangkan wanita itu mendapatkan daripada seorang pakar berbangsa Cina yang berusia 70-an di Wong Specialist di Tangkak, Johor.
Tanpa peralatan yang canggih, doktor berkenaan berjaya mengesan bahawa ekzema anaknya bertambah teruk kerana kanak-kanak itu rupanya alergi kepada yis.
Perlu berhenti makan hidangan berasaskan yis, seisi keluarga Aysha juga harus menukar produk pembersihan badan dan pakaian seperti syampu, sabun badan dan pencuci baju.
Selepas seminggu menggunakan ubat-ubatan yang diberikan, ekzema Aysha semakin pulih malah kulit anak yang kini berusia setahun enam bulan juga tidak lagi kemerahan seperti dahulu.
Baca juga: Dituduh ‘curi’ budaya Indonesia, netizen seberang ugut nak culik anak Nabila Huda