Malaysia Dateline

Naik taraf pejabat menteri lebih banyak dari majukan kepakaran ladang

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) mempersoalkan mengapa peruntukan untuk menaik taraf pejabat Menteri Perusahaaan Perladangan dan Komoditi dalam Belanjawan 2021 mencecah RM23.8juta.

Pengarah Strategi AMANAH itu mempersoalkan jumlah peruntukan itu memandangkan hanya RM200,000 diperuntukkan bagi Program Pembangunan Kepakaran Perladangan dan Komoditi (00526).

“Saya celah YB Sepang (Hanipa Maidin) berucap meminta Menteri jelaskan, di mana prioriti Menteri?” soalnya.

Peruntukan bagi menaik taraf pejabat menteri itu adalah 119 kali ganda lebih banyak berbanding usaha untuk memperkasakan kepakaran peladang.

Semalam, peruntukan bagi Kementerian Perusahaaan Perladangan dan Komoditi dalam Belanjawan 2021 lulus di peringkat jawatankuasa dengan melalui proses undi belah bahagian.

Lebih 15 Ahli Parlimen bangun meminta undi belah bahagian dibuat selepas undian mengikut suara.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bagi kementerian itu lulus di peringkat Jawatankuasa selepas sejumlah 108 Ahli Parlimen mengundi menyokong, 95 tidak bersetuju manakala 17 tidak hadir.

Turut diluluskan semalam peruntukan bagi Kementerian Luar, Kementerian Perpaduan Negara.

Ini menjadikan peruntukan bagi kementerian yang telah lulus di peringkat jawatankuasa setakat semalam ialah lima dengan dua daripadanya diluluskan mengikut undian suara terbanyak manakala tiga melalui proses undi belah bahagian.