Naikkan berat lebih 20kg demi watak, Shaheizy Sam akui cepat mengah, berpeluh

Oleh MAISARAH AISYA

Demi menjayakan satu watak, pastinya pelakon sanggup melakukan apa sahaja termasuklah menaikkan dan menurunkan berat badan.

Buat pelakon Shaheizy Sam, dia sanggup menaikkan berat badan lebih 20 kilogram (kg) demi membawa watak dalam satu filem.

Kongsinya dia mengambil masa empat bulan untuk menaikkan berat 70kg ke lebih 90kg ketika ini lapor Harian Metro.

“Saya paksa diri makan makanan tidak sihat yang tinggi lemak, gula dan minyak serta makanan segera seperti burger dan ais krim.

“Memang saya berasa perubahan yang tidak bagus bila berat badan naik mendadak. Kesannya saya cepat penat, letih, mengantuk dan cepat berpeluh,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Ini bukanlah pertama kali dia terpaksa menaikkan berat bada namun disebabkan minat mendalam, dan akan cuba sebaiknya untuk turunkan berat badan selepas penggambaran.

“Saya berlakon kerana minat mendalam dan sanggup menaikkan berat badan untuk menjiwai watak.

“Selepas projek filem itu selesai, saya akan turunkan semula kepada berat badan asal kerana ia penting untuk kesihatan.

“Pada masa sama, saya juga baru lancarkan produk untuk menurunkan berat badan dan pastinya penting untuk saya kembali kepada berat badan asal untuk meyakinkan orang,” katanya.

Pada masa sama, Sam memaklumkan isterinya Syatilla Melvin teruja dia naik berat badan kerana boleh menikmati makanan bersamanya.

“Isteri saya gembira bukan sebab suka tengok saya gemuk, tetapi sebab dia pun dapat makan sekali.

“Sebab bila saya diet, saya tak dapat makan makanan yang dia masak di rumah,” tambahnya.

Baca juga: Gambar Jofliam bersama ‘staf’ buat netizen naik angin, tak hairan Cik Epal curiga?