Naikkan caj pakir kerana MBSA alami defisit

Oleh Nasuha Rahman

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) didakwa mengalami kekurangan hasil pendapatan sebagai faktor kenaikan caj letak kereta di dalam kawasan itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, MBSA dilaporkan telah mengalami defisit sejak tiga tahun yang lepas.

“Saya baru sahaja dimaklumkan bahawa caj 40 sen telah dikenakan pada 1998 dan kenaikan ini (60 sen) sebenarnya sudah dicadangkan sejak tahun 2008.

“Tetapi apabila Pakatan Rakyat (PR) menang ketika itu (pada tahun 2008), cadangan itu terpaksa ditangguhkan.

“Pada masa yang sama, MBSA telah mengalami defisit sejak tiga tahun kebelakangan ini,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, ketika dihubungi berkata, beliau baru sahaja dimaklumkan tentang perkara itu yang kemungkinan merupakan salah satu faktor kenaikan caj parkir.

Beliau berkata demikian, setelah merujuk pada artikel Malaysia Dateline pada Jumaat yang melaporkan bahawa orang awam terbeban dengan kenaikan caj parkir selain menjawab pertanyaan tentang alasan kenaikan yang dikenakan terhadap mereka.

Baca: Caj parkir beban pengguna

Ditanya tentang kewajaran kenaikan caj ketika kos sara hidup semakin meningkat, beliau berkata ia satu berita yang dianggap sebagai mendukacitakan dan tidak wajar dilakukan.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan penguatkuasaan tersebut jika tiada alasan kukuh untuk mengenakan caj yang lebih tinggi.

“Jika mereka saja-saja (naikkan kadar caj), saya tidak setuju. Mana-mana kenaikan perlu dipertimbangkan secara serius sebelum ia diluluskan.

“Namun, kenaikan tersebut dilihat wajar atas sebab MBSA mengalami kekurangan pendapatan,”katanya.

Beliau menegaskan bahawa MBSA hanya boleh menaikkan caj letak kereta jika mempunyai alasan atau sebab-sebab yang dijelaskan.

Khalid turut menyarankan supaya perkara tersebut sebaik-baiknya dirujuk pada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerana ianya merupakan urusan negeri.