Malaysia Dateline

Naikkan had usia WARDA ke 35 tahun 

Perwakilan Selangor, Siti Nur Aisyah membentangkan usul agar menaikkan had usia keanggotaan Wanita Muda AMANAH (WARDA) dari 30 ke 35 tahun.

Menurutnya, peningkatan kira-kira tujuh juta pengundi muda susulan keputusan Kabinet menurunkan had umur boleh mengundi kepada 18 tahun menuntut lebih banyak tenaga untuk menyantuni anak muda.

“Adakah WARDA punya tenaga kerja cukup untuk menyantuni belia yang ramai ini?

“Bagaimana WARDA dapat berdiri dengan sayap Pemuda AMANAH dan Puteri Umno dengan had umur hingga 40 tahun?” soalnya dalam perbahasan usul pada Konvensyen Nasional 2019 AMANAH.

Sehubungan itu, Siti Nur Aisyah mengingatkan tidak wajar untuk mengharapkan kepimpinan WARDA pada usia yang dilihat belum matang dalam berpolitik.

“Tidak wajar untuk memetik buah yang tidak masak. Tidak harus mengemudi WARDA pada usia setahun jagung dalam politik,” katanya.

Beliau turut memberikan contoh bagaimana pada tahun lalu, WARDA masih kekal dengan dua negeri di Selangor dan Johor walaupun selepas setahun diwujudkan.

Sementara itu, perwakilan Johor, Sharon menyokong penuh usul tersebut selaras dengan definisi anak muda menurut takrifan UNESCO iaitu 15 hingga 35 tahun.

“Kita bercakap soal barisan jawatankuasa yang akan mengurus WARDA bukan sekadar audiens semata-mata,” ujarnya.

Beliau menegaskan langkah menaikkan had usia WARDA kepada 35 tahun dapat menyediakan barisan kepimpinan yang stabil ekonomi dan berdaya saing.