Malaysia Dateline

Naikkan harga telur: KPDNHEP Terengganu keluar notis kepada empat syarikat

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu mengeluarkan empat notis kepada empat syarikat pemborong telur di negeri ini hasil pemeriksaan yang dilakukan sejak 7 Dis lepas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu, Zulfahmy Mat Udi berkata Notis 21 di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 itu dikeluarkan bagi mengetahui sebab kenaikan harga telur di empat syarikat pemborong berkenaan.

“KPDNHEP Terengganu telah melakukan pemeriksaan harga telur di 93 premis termasuk di pasar raya, pemborong dan kedai runcit sepanjang tempoh itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati harga telur di Terengganu tidak mengalami kenaikan melampau dan secara puratanya, harga telur ketika ini ialah RM0.40 sebiji (gred E), RM0.41 (gred D), RM0.42 (gred C), RM0.44 (gred B) dan RM0.45 (gred A),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan operasi bersepadu bersama 10 jabatan dan agensi penguatkuasaan di pasar pagi Kuala Berang di sini hari ini.

Antara agensi terlibat ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Majlis Daerah Hulu Terengganu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd, Kementerian Kesihatan Malaysia, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan pihak media.

Beliau juga berpuas hati dengan tahap pematuhan peniaga terhadap undang-undang kepenggunaan dan penguatkuasaan dalam operasi kali ini.

“Memang ada sedikit kenaikan sayur dan ikan, namun kita maklum kenaikan itu adalah disebabkan faktor musim tengkujuh di mana nelayan tidak keluar ke laut, jadi peningkatan itu adalah munasabah.

“Selain dari pematuhan tanda harga, alat penimbang yang digunakan peniaga juga diperiksa bagi memastikan ianya masih dalam tempoh penentusahan dan memberi timbangan yang tepat dalam urusan jual beli,” katanya.

— BERNAMA