Malaysia Dateline

Naikkan kompaun, PN tidak dengar rintihan rakyat

Tindakan kerajaan yang seolah-olah ingin bersikap tegas dengan menaikkan kadar kompaun terhadap mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menunjukkan isyarat jelas bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak mendengar rintihan rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir berkata, banyak teguran serta singgungan rakyat secara terbuka kepada kerajaan agar pendekatan dua darjat dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) dihentikan terlebih dahulu sebelum sebarang perubahan dilakukan.

Namun menurutnya, ianya dilihat seperti tidak disambut baik oleh kerajaan.

“Siri pendedahan berhubung tindakan menteri serta Ahli Parlimen PN yang melanggar SOP kebelakangan ini seperti tidak dilayan apabila tiada tindakan dikenakan terhadap mereka.

“Berbeza pula jika kesalahan tersebut dilakukan oleh rakyat, kompaun dan tindakan akan segera diambil bagi menghukum rakyat yang melakukan kesalahan.

“Ketidakpuasan hati rakyat tambah membuak sebaik sahaja Perdana Menteri pulang dari Indonesia awal bulan ini dan terus sahaja diberi kebenaran terhadap jemaah menteri untuk menjalani kuarantin hanya selama tiga hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, orang ramai yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac.

Bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama pula boleh dikompaun sebanyak RM50,000.

Menurut laman Pejabat Peguam Negara, perkara itu telah diwartakan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Sebelum ini, di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Dalam pada itu Akmal menegaskan, segala tindakan dua darjat kerajaan PN memberi gambaran seolah-olah menteri dan rakyat mempunyai dua set undang-undang yang berbeza.

Oleh sebab itu katanya, apabila ordinan tersebut dipinda bagi menaikkan jumlah kompaun, secara tidak langsung menimbulkan kerisauan kepada rakyat berhubung sejauh manakah elemen keadilan akan diaplikasikan dalam penguatkuasaan tersebut.