Malaysia Dateline

Najib akan buat sumpah laknat Jumaat ini

Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini menyatakan beliau akan membuat Sumpah Laknat di Masjid Jamek Kampung Baru selepas Jumaat, esok.

Bekas perdana menteri itu menyatakan demikian di laman facebooknya sebentar tadi bagi menangkis kenyataan dibuat oleh bekas anggota Pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri.

“Bismillahirrahmanirrahim

“Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh

“Saya berhasrat melakukan sumpah laknat menafikan dakwaan yang terkandung dalam Akuan Bersumpah yang dikeluarkan Azilah Hadri.

“Sumpah laknat ini akan saya buat di Masjid Jamek Kampung Baru di ibu negara sejurus selepas Solat Jumaat minggu ini.

Sekian, terima kasih,” ujarnya.

Najib dipercayai berbuat demikian susulan dakwaan terkini berkaitan akuan bersumpah Azilah Hardi pada Isnin, yang mengaitkan dirinya sebagai individu yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaaribuu.

Dalam akuan bersumpah itu Azilah mendakwa dia dan Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan ‘shoot to kill’ atau tembak mati kerana Najib melabelkan Altantuya sebagai ‘perisik asing’.

Bagaimanapun Najib menafikan pembabitannya dalam siri pembunuhan model Mongolia itu.

Status yang dimuat naik baru sejam itu telah meraih 3.2k komen dan 1.4k perkongsian.