Najib akan hadiri sidang kemuncak peringatan Asean-Rusia

Najib akan hadiri sidang kemuncak peringatan Asean-Rusia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang akan diadakan di Sochi, Rusia pada 19 hingga 20 Mei.

 Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia diadakan bersempena 20 tahun hubungan dialog ASEAN-Rusia.

 Sidang kemuncak itu bertindak sebagai platform untuk pemimpin Negara Anggota ASEAN dan Rusia dalam menggariskan hala tuju kerjasama mereka pada masa depan, jelasnya.

 Pada Sidang Kemuncak Peringatan itu, katanya, pemimpin dijangka menerima pakai Deklarasi Sochi bertajuk “Menuju Ke Arah Perkongsian Strategik bagi Manfaat Bersama”.

 “Pemimpin-pemimpin juga akan memberi tumpuan pada Pelan Tindakan Komprehensif (2016-2020) yang mengandungi langkah-langkah spesifik untuk mengukuhkan hubungan bagi lima tahun akan datang dan meneliti laporan Kumpulan Tokoh Terkemuka (AREPG), laporan yang mengandungi cadangan-cadangan bagi hala tuju hubungan ASEAN-Rusia pada masa depan,” menurutnya.

 Wisma Putra berkata Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia akan terdiri daripada tiga sesi iaitu; sesi pleno, yang akan membincangkan isu global dan serantau serta kerjasama ASEAN-Rusia; mesyuarat antara pemimpin dengan wakil perniagaan bagi membincangkan peluang antara ASEAN dan Rusia; dan perbincangan semasa majlis makan tengah hari yang akan menumpukan pada prospek meningkatkan lagi kerjasama ekonomi antara Eurasia dan Asia Tenggara.

 “Forum Perniagaan ASEAN-Rusia dan Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan ASEAN-Rusia juga akan diadakan di luar Sidang Kemuncak,” katanya.

 Pada lawatan itu, Najib turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin bagi membincangkan isu-isu kebimbangan bersama.

 Najib, yang juga Menteri Kewangan akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman serta pegawai Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

TAGS