Malaysia Dateline

Najib akui hubungi Anwar pada malam 9 Mei

Datuk Seri Najib Razak mengakui beliau ada menghubungi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu masih ditahan di Penjara Sungai Buloh pada malam 9 Mei lalu.

Najib, bagaimanapun, berkata tindakannya itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana beliau sering menghubungi Anwar untuk bertanya khabar secara peribadi sepanjang ditahan di penjara.

“Ya ada (menghubungi Anwar) selepas keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-14…tetapi selama ini pun saya ada berhubung secara peribadi,” katanya dalam program wawancara menerusi FB Live Sinar Harian di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan ada cubaan daripada UMNO dan PAS menarik Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan Melayu-Islam pada malam 9 Mei lalu selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam PRU-14.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam temubual bersama majalah Mekong Review, mendedahkan ada cubaan “di sebalik tirai” beberapa jam sebelum keputusan rasmi PRU-14 diumumkan secara rasmi enam bulan lalu.

Perdana Menteri berkata, PH berdepan “masalah dari dalam” pada malam 9 Mei lalu sebelum membentuk kerajaan pada peringkat Persekutuan.

Mengulas lanjut, Najib berkata beberapa pemimpin utama datang menemuinya pada malam 9 Mei lalu, termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, namun ia langsung tidak menyentuh usaha untuk menarik Ahli Parlimen PH.

“Saya pun tidak tahu dari mana datangnya berita (menarik Ahli Parlimen PH). Saya juga hendak ulang balik bahawa bukan termasuk dalam perancangan saya supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengisytiharkan darurat…itu tuduhan tidak benar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berharap kerajaan baharu akan meneruskan dasar bermanfaat kepada rakyat yang dilaksanakan kerajaan terdahulu.

“Saya melihat perlu ada kesinambungan dan atas sebab itu saya berharap janganlah hapuskan semua perkara yang dilaksanakan kerajaan terdahulu.

“Apa yang dilaksanakan kerajaan terdahulu…jika elok sambunglah, tetapi jika tidak elok beberapa perkara…kajilah semula.

“Kerajaan yang ada hari ini tidak boleh menoleh ke belakang menyalahkan kerajaan terdahulu. Mereka sudah dapat mandat dan tadbirlah mandat yang yang mereka terima,” katanya seperti dilapor BHonline.