Malaysia Dateline

Najib anggap dirinya belum pasti lagi ke penjara

Aksi sinis Shamsul mengundang reaksi Najib.

Tampil memberi reaksi terhadap aksi sindiran seorang Ahli Parlimen PKR, Datuk Seri Najib Razak hari ini menganggap dirinya belum pasti lagi ke penjara ekoran keputusan mahkamah semalam.

Menurut pesalah dengan kes penyelewengan RM42 juta itu, masih terdapat peluang bagi dirinya melalui proses rayuan sedia ada.

Suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu berkata demikian ketika mengulas ciapan Twitter Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan gambar sedang menjamah makanan ringan, Super Ring.

Sebelum ini, Najib memuatnaik gambar makan Super Ring bagi tujuan menyindir PH.

“Seronok juga tengok satu PH troll saya dengan Super Ring setelah keputusan mahkamah semalam.

“Saya troll satu PH kerana kerajaan mereka tumbang. Itu dah pasti. Satu PH troll saya sebab saya seorang bakal ke penjara.

“Itu pun belum pasti lagi kerana masih ada proses rayuan dan point-point kita amat kuat.

“Satu kerajaan PH banding saya seorang. Kiralah saya dah untung,” kata bekas Perdana Menteri pertama yang dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta itu lagi.

Bahkan, Najib, 67, sempat menyindir lagi Shamsul, 46, yang dilihat mengaitkan dengan masalah obesiti.

“Shamsul, jangan lebih (makan Super Ring). Jaga diet!” seloroh Najib lagi melihatkan aksi Shamsul bersama empat bungkus Super Ring dan sebungkus makanan lain itu.