Malaysia Dateline

Najib anggap GST mampu rangsang ekonomi, bantu rakyat era pandemik

Datuk Seri Najib Razak berpendapat pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) jika tidak dimansuhkan akan dapat menjadi penyelamat ekonomi negara ketika era pandemik.

Bekas Perdana Menteri tersebut berkata, GST yang mula dilaksanakan pada 1 April 2015 itu memberi banyak pendapatan tambahan kepada negara yang kemudiannya dapat disalurkan terus kepada rakyat.

“GST memberi hasil tambahan RM20 bilion hingga RM30 bilion. Mana-mana negara pun seperti Singapura dan Amerika Syarikat ada suntikan (ekonomi) yang diberi terus kepada akaun rakyat.

“Dari situ, kita ada rangsangan ekonomi,” katanya dalam slot Eksklusif bersama Najib Razak di Astro Awani sebentar tadi.

Untuk rekod, GST dengan kadar enam peratus dimansuhkan sepenuhnya bagi membolehkan Akta Jualan dan Akta Perkhidmatan (SST) dilaksanakan mulai 1 September 2018.

Penghapusan GST adalah sebahagian daripada janji dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Walau bagaimanapun, apa yang berlaku pada masa ini kata Najib, menyaksikan kerajaan terpaksa menambah hutang.

“Kerajaan kalau nak belanja, nak tolong rakyat kena tambah hutang. Hutang sekarang sudah melebihi 60 peratus daripada kadar KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).

“Sekarang (hutang negara) mencanak naik,” katanya lagi meskipun dalam masa sama mengakui mana-mana pihak yang menjadi kerajaan pada masa pandemik ini berdepan situasi yang amat mencabar.

Dalam hal berkaitan, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri di Dewan Negara pada Disember tahun lalu berkata, pungutan cukai GST adalah sebanyak RM44 bilion setahun.

Jelas Ahli Parlimen Kudat dari Bersatu itu lagi, jumlah pungutan GST ketika pelaksanaannya ialah RM133.1 bilion, manakala cukai SST hanya RM21 bilion setahun.