Malaysia Dateline

Isu PS1M: Najib anggap Menteri Pendidikan ajar anak-anak berbohong

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sebagai mahu mendidik anak-anak berbohong apabila bersungguh-sungguh melakukan tuduhan liar tanpa melakukan siasatan terlebih dahulu.

Mengulas isu muka depan akhbar Mingguan Malaysia hari ini bertajuk ‘Susu Sekolah Tidak Hilang’, Najib berkata Maszlee kini menuduh wang untuk susu kanak-kanak di bawah Program Susu 1Malaysia (PS1M) juga telah hilang selepas mendakwa peruntukan untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) sebanyak RM36 juta lesap.

Ahli Parlimen Pekan berkenaan berkata, peruntukan PS1M tidak hilang, sebaliknya dana untuk program tersebut bagi tahun ini tidak dilulus dan disalurkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Susu sekolah tak hilang. Malangnya program susu ini tidak diteruskan untuk tahun ini selepas PH menang kerana dana peruntukan untuk tahun ini tidak diluluskan dan disalurkan oleh kerajaan PH sendiri.

“Sekali lagi didapati kerajaan PH sendiri yang salah tetapi Menteri Pendidikan mahu mempersalahkan saya dan kerajaan BN dahulu.

“Sudah lebih enam bulan mentadbir, sampai bila kerajaan PH mahu menyalahkan kerajaan BN dahulu? Adakah Menteri Pendidikan kita sekarang mahu mendidik anak-anak muda kita untuk berbohong dengan bersungguh-sungguh dan membuat tuduhan liar sebelum menyiasat,” dipetik dari Facebook beliau hari ini.

Mingguan Malaysia mendedahkan lima syarikat yang dilantik bagi tujuan pembekalan susu PS1M telah menghantar kesemua minuman bantuan berkenaan kepada lebih 7,000 sekolah yang terlibat bermula Ogos hingga Oktober tahun lalu.

Terdahulu, Maszlee berkata, PS1M gagal memandangkan tiada bekalan susu dihantar ke sekolah seluruh negara pada tahun lalu.