Malaysia Dateline

Najib awal umum mahu bertanding PRU-15 walau dihukum bersalah penjara 12 tahun, denda RM210j

Dengan kedudukannya yang sudah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah dan sedang menunggu keputusan rayuan terhadap kesnya, Najib Razak dari segi logiknya tidak patut terlalu awal melontarkan keinginan untuk bertanding lagi dalam PRU-15 akan datang.

Apatah lagi, dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadapnya, beliau seharusnya lebih fokus terhadap pembelaan kesnya semata-mata.

Soal mahu bertanding lagi atau sebaliknya, sebaiknya biarlah ia diputuskan setelah rayuan kesnya diketahui.

Dalam kedudukan sekarang, sementara keputusan rayuannya belum diketahui, beliau tetap dikira sebagai individu yang bersalah dan tidak layak untuk bertanding dalam PRU-15.

Dengan demikian, kenyataannya yang mahu bertanding lagi, sedangkan belum ada tarikh ditetapkan oleh hakim Mahkamah Rayuan untuk menyampaikan keputusan berhubung rayuan kesnya, perkara ini tidak dapat tidak, tentu menimbulkan banyak persoalan.

Untuk apa dan atas muslihat apa beliau bercakap begitu awal tentang keinginannya mahu bertanding lagi itu?

Meskipun dalam kenyataannya mahu bertanding itu, Najib mengakui wujud halangan dari segi Perlembagaan yang bakal menyekatnya daripada bertanding, beliau turut mengatakan perkara itu terbuka kepada pelbagai tafsiran.

Tanpa menyebut secara khusus bagaimana untuk mengatasi halangan tersebut, beliau berkata: “Ia bergantung kepada tafsiran.

“Ia bergantung kepada tafsiran dari segi undang-undang, Perlembagaan dan apa yang berlaku ketika prosiding mahkamah.”

Seterusnya, bekas Perdana Menteri itu menegaskan, siapa saja ahli politik yang mahu memainkan peranan tentu sekali mahu bertanding kerusi Parlimen.

Semua kenyataan ini memberi gambaran jelas bahawa Najib memang mahu bertanding lagi serta ingin terus memainkan peranan dalam politik negara.

Soalnya, bagaimana Najib mahu bertanding lagi?

Apakah dengan kenyataannya itu beliau mahu agar Mahkamah Rayuan segera membuat keputusan terhadap rayuannya?

Tetapi, apakah beliau benar-benar yakin keputusan Mahkamah Rayuan akan memihak kepadanya?

Dalam hal ini, dengan begitu awal melontarkan hasrat mahu bertanding lagi, adakah ini bermakna Najib sudah begitu yakin beliau akan menang dalam kes rayuannya?

Adakah ini bermakna pertukaran kepimpinan kerajaan daripada Mahiaddin Md Yasin kepada Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden Umno baru-baru ini merupakan suatu khabar gembira buat Najib?

Selain itu, jika dibolehkan bertanding lagi, peranan apa yang menjadi idaman Najib untuk dimainkannya selepas PRU-15 nanti?

Jika kerusi Perdana Menteri menjadi idamannya, apakah Ismail Sabri begitu bermurah hati sedia memberi laluan?