Malaysia Dateline

Najib bakal muflis, hilang kerusi Parlimen Pekan

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat hampir sahih akan muflis dan kerusi Pekan disandangnya bakal diisytiharkan kosong.

Kemungkinan tersebut wujud susulan tular notis kebankrapan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap suami Datin Seri Rosmah Mansor berkenaan.

Dalam notis itu, Najib dikehendaki membayar kepada kerajaan tunggakan cukai pendapatan melebihi RM1.7 bilion.

Sekiranya wakil rakyat Pekan tersebut gagal melunaskan tunggakan tersebut, dia bakal hilang kelayakan daripada memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Sementara itu, Najib dalam reaksinya menjawab, “entah siapa yang bocorkan notis itu kepada mereka untuk ditularkan.”

Pemimpin Umno yang turut dikaitkan dengan kes berprofil tinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu mendakwa memang ada usaha oleh LHDN pada 5 Mei lalu menggunakan undang-undang “bayar dulu, bincang kemudian”.

Dakwanya lagi tindakan itu bertujuan untuk memufliskannya dengan segera bersama penalti cukai tambahan 26% + 40% + 15% + 10% berjumlah RM1.7 bilion.

“Niat LHDN amat jelas. Bukan nak bincang atau runding dengan saya apa sebenarnya penalti cukai yang wajar atau pungut satu sen dari saya.

“Seperti dijelaskan saya, Menteri Kewangan PN pernah arahkan LHDN untuk selesaikan isu cukai ini dengan saya tapi disuruh boss dia untuk lepas tangan dan biarkan boss dia uruskan hal ini,” kata Najib menerusi Facebook sebentar tadi.

Najib juga menjelaskan jumlah tuntutan tersebut adalah penalti cukai yang dikenakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Ianya bukan cukai pendapatan biasa yang saya tak pernah tak bayar setiap tahun,” tambahnya lagi.