Najib balik awal selepas tidak sihat di Terengganu

Najib balik awal selepas tidak sihat di Terengganu

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terpaksa membatalkan semua program beliau di Terengganu lebih awal malam tadi kerana didapati tidak sihat selepas program walkabout di Pasar Batu Enam, Kuala Nerus.

Menurut sumber, Najib kelihatan penat dan pucat ketika berbuka puasa di Masjid Assalam Batu Rakit selepas berjalan di Pasar Batu Enam itu.

Menurut sebuah laman web yang berpusat di Terengganu,  pasukan perubatan yang diketuai Dr Mohd Hafiz telah memeriksa Najib selepas program walkabout di pasar Batu Enam itu berakhir.

Dr Mohd Hafiz adalah pegawai perubatan dari Pasukan Perubatan Klinik Kesihatan Seberang Takir yang mengiringi rombongan Najib.

Dr Hafiz yang merawat Najib pada jam 6.08 petang ketika beredar dari bilik hotel beliau memaklumkan bahawa Najib tidak sihat dan akan menamatkan lawatan ke Terengganu pada 8.30 malam tadi.

Najib dikatakan bertolak pulang ke Kuala Lumpur sejurus selesai solat Maghrib di Masjid Assalam.

Najib dijadual memberikan dana raya kepada ketua-ketua bahagian Umno di Terengganu di masjid tersebut.

Selepas itu, beliau dijadualkan ke Masjid Al Mustaqim, Gemuruh pula untuk solat Tarawih bersama rakyat sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

COMMENTS

Wordpress (0)