Sedikit demi sedikit, bukti makin jelas kalau memang kita berada dalam zaman pasca-kebenaran, atau istilah bahasa Inggerisnya, post-truth.
Pasca-kebenaran ini terkait rapat dengan pemahaman kita sebagai anggota masyarakat terhadap pergerakan yang melibatkan terutama sekali politik.
Dalam zaman pasca-kebenaran, naluri untuk melihat kebenaran sebenar – bukan yang direkayasa hampir hilang. Masyarakat jadi sesat dalam menilai kebenaran.
Pasca-kebenaran mungkin adalah terma baharu, namun sifat di sebaliknya sudah wujud sekian lama. Dalam lipatan zaman sebelum ini, ia muncul dengan nama-nama yang lain.
Perdebatan politik terkait keruntuhan moral dan hal-hal lain seperti konspirasi politik, penyelewengan, fitnah, relativisme, dan politik pasca-moden adalah antara bentuk terawal politik pasca-kebenaran. Kita di Malaysia juga sudah terdidik dengan persekitaran politik hanyir sebegini sejak terutama 1998.
Dalam konteks perbincangan hari ini, pasca-kebenaran muncul secara ketara pada 2016 – di sebelah barat peta dunia. Dua peristiwa penting politik dunia pada tahun tersebut – kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat dan referendum Brexit di Britain adalah manifestasi kepada politik pasca-kebenaran yang sedang melanda masyarakat di sana.
Trump terkenal sebagai pembohong besar – perkara yang dijual sepanjang kempen pemilihannya jarang sekali berdasarkan fakta. Jurukempennya sendiri bertukar-tukar akibat perselisihan. Atas retorik agama, bangsa dan negara, Trump dari Parti Republikan muncul sebagai pemenang menewaskan Hillary Clinton dari Parti Demokratik.
Masyarakat pengundi Trump adalah warga kulit putih, konservatif, Kristian tegar, dengan latar belakang ekonomi kelas pekerja. Mereka tidak peduli dengan pembohongan Trump.
Malah, mereka menerima kalau apa yang dibohongi oleh Trump adalah kebenaran alternatif atau alternative-fact, dan apa yang didedahkan oleh saluran berita dan media sosial adalah fitnah ke atas penyelamat mereka.
Begitu juga di Britain. Brexit menjadi pilihan masyarakat pengundi yang hampir sama demografinya – usia pertengahan, nasionalis Inggeris berkulit putih, kelas pekerja yang tidak hadam ekonomi keliling mereka, dan terdedah kepada persekitaran kewangan yang mencabar.
Mereka memilih untuk keluar dari kepungan Eropah yang dianggap tidak wajar lagi diikuti. Kerugian ekonomi dan hak warga yang dialami adalah hasil dari perkahwinan bersama Eropah selama ini. Biar segenap analisa ekonomi dibentang, tentang bagaimana ekonomi Britain tidak pun jadi makin baik andai terputus hubungan dengan Eropah – ia tidak diterima.
Hanya minggu lalu, Brexit sekali lagi menang apabila Parti Buruh tewas kepada Konservatif. Masyarakat mereka masih kuat bersama keputusan tiga tahun lalu.
Hal ini sudah saya timbulkan mungkin dalam beberapa tulisan yang lalu – namun saya percaya ia harus terus diperingatkan. Sebagaimana dahulu saya terus-menerus mengingatkan ancaman politik konservatif, maka hari ini saya akan terus-menerus mengingatkan pembaca tentang politik pasca-kebenaran.
Dalam PRU15 nanti, kita bukan hanya kalah dengan retorik bangsa dan agama oleh puak konservatif, kita juga bakal kalah kerana fenomena pasca-kebenaran ini.
Perhatikan apa yang bakal berlaku. Minggu ini kita beruntung. Cif Inspektor Azilah Hadri membuka mulut selepas lebih sedekad menyimpan rahsia. Ia menguatkan rasional yang kita semua sudah sejak dahulu sedar dan sentiasa timbulkan – mana mungkin Altantuya dibunuh tanpa sebab, mana mungkin Azilah dah Sirul bertindak tanpa arahan.
Dalam kalangan kita, ini jackpot. Pada saat Najib semakin angkuh dan berkepak selepas dijadikan ikon mat rempit baru nak up, pendedahan Azilah sepatutnya menggegarkan jantung Najib.
Sayang sekali – ini zaman pasca-kebenaran. Zaman ini amat menyebelahi pembohong seperti Najib. Respon pertama beliau adalah penafian kosong dengan membandingkan akuan bersumpah (SD) Azilah dengan SD kontroversi terhadap ahli politik lain baru-baru ini.
Perbandingan yang tidak langsung setara dengan tuduhan besar jenayah bunuh yang dikaitkan ke atasnya dirinya. Kita menepuk dahi melihat betapa singkatnya akal Najib. Namun, itulah langkah pertama yang perlu beliau ambil.
Untuk memenangi persepsi dalam kalangan penyokongnya, Najib harus memencil dan memperkecilkan tuduhan tersebut – dengan memaparkan keyakinan diri, bukan buat tatapan musuh sebaliknya penyokong sendiri. Apabila penyokongnya yakin, segalanya akan bergerak sendiri.
Pembohongan Najib akan tersebar dan berkembang sendiri. Masyarakat akan sekali lagi dikelirukan. Walapun politik pasca-kebenaran Najib ini tidak akan menyelamatkan dirinya daripada penjara, namun sekurang-kurangnya beliau akan masih mampu berhadapan penyokong tanpa rasa malu.
Inilah hakikat yang dihadapi kita. Andai hari ini berlaku enam atau tujuh tahun yang lalu – mungkin kita tidak akan melihat keangkuhan Najib seperti sekarang. Yang kita bakal lihat adalah protes besar di jalan-jalan Kuala Lumpur, menuju ke rumah Najib di Langgak Duta. Sayangnya, semua ini berlaku pada zaman pasca-kebenaran.
Jika Trump – seorang pembohong dan pembelit, taikun yang kaya hasil menipu cukai boleh jadi Presiden negara terkaya dunia, apatah lagi Najib yang berdarah pendekar Bugis. Sebagaimana Trump, Najib layak kita kenang sebagai Bapa Post-Truth Malaysia.
*Artikel ini kali pertama terbit dalam akhbar Mingguan Amanah, Bil 182, 22-28 Disember 2019.