Najib bersumpah dalam masjid tidak kenal Altantuya

Tetap menafikan mengenali model Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibunuh 12 tahun lalu, Datuk Seri Najib Razak membuat penegasan sama ketika diwawancara agensi berita Reuters.

Bahkan, bekas Perdana Menteri itu memberitahu beliau telah bersumpah dengan nama Allah dan mendakwa dirinya tidak terlibat dalam kes berprofil tinggi itu.

“Tidak ada sebarang bukti saya pernah bertemu dia, tidak ada rekod, tidak ada gambar atau saksi yang mengatakan saya pernah mengenali dia.

“Ia tertakluk kepada satu perbicaraan yang sewajarnya dan nama saya tidak timbul semasa perbicaraan berkenaan.

“Saya juga sudah bersumpah dengan nama Allah dalam sebuah masjid bahawa saya tidak ada kena-mengena dengan kes berkenaan,” tegasnya.

Untuk rekod, Najib sebelum ini pernah memberitahu beliau telah melafazkan sumpah sebanyak tiga kali termasuk di sebuah masjid di Permatang Pauh pada 2008.

Najib ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pertahanan pada sidang Dewan Rakyat, 15 Mei 2008 menafikan hal itu selain menganggap dakwaan yang mengaitkan kematian Altantuya dengan dirinya sebagai tuduhan palsu.

Dalam perkembangan berkaitan, bapa Altantuya, Setev Shaariibuu telah bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha menggesa kerajaan Pakatan Harapan supaya siasatan kes pembunuhan itu dibuka semula.

Bekas anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar pula sebelum ini menyatakan ingin bekerjasama dengan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi saksi dalam kes pembunuhan itu.

Altantuya mati dibunuh dan mayatnya diletupkan pada usia 28 tahun antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan pukul 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16736, Mukim Bukit Raja di Klang.

Kematian wanita kelahiran Ulan Bator itu dikaitkan dengan skandal komisen pembelian kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote