Malaysia Dateline

Najib bunuh dan hancurkan Umno – Tun M

Datuk Seri Najib Razak adalah pembunuh yang menghancurkan Umno, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Memetik laporan Malaysiakini, Mahathir berkata Najib tidak tahu malu kerana memusnahkan parti yang ditubuhkan bapanya sendiri.

“Najib is the killer of Umno, Najib destroyed Umno. (Najib adalah pembunuh Umno. Najib menghancurkan Umno).

“Bapa dia tubuh, dia yang ‘destroy’. Dia sama sekali tidak malu kerana memusnahkan warisan bapanya” katanya memetik Malaysiakini.

Menerusi wawancara bersama portal berkenaan, Mahathir mendakwa sehingga hari ini masih ada usaha untuk memujuknya menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

Namun katanya, usaha itu tidak berjaya kerana beliau tidak boleh bekerjasama dengan beberapa ‘penjenayah’ yang menyokong kerajaan sekarang terutama Najib.

“Parti (Umno) sekarang ni kalau tak ada Najib dan empat, lima orang lagi kluster mahkamah tu, jatuh.

“Dia orang bergantung kepada bukan Melayu, kedua penjenayah. Saya tidak boleh dikaitkan dengannya,” katanya.

Mahathir turut mengulas persoalan sama ada beliau bersedia atau tidak untuk bekerjasama dengan PN selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini memutuskan bahawa parti itu akan menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN.

Sejak PH tumbang, Mahathir sering menyatakan bahawa dia menentang usaha untuk bekerjasama dengan ‘kleptokrat’ – merujuk kepada pemimpin Umno yang menghadapi kes mahkamah.

“Ya, kalau dia orang (kluster mahkamah) tak ada. Tak apalah orang Umno boleh join Bersatu. Tak payah Umno lagi pasal Umno dapat nama buruk,” katanya lagi.