Malaysia Dateline

Batal HSR: Najib dakwa kerajaan perlu bayar pampasan lebih RM300 juta

Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Malaysia perlu membayar pampasan sehingga RM310 juta kepada Singapura susulan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) hari ini.

Pembatalan tersebut selepas kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat dan perjanjian projek HSR disahkan telah berakhir pada 31 Disember 2020.

“Kerajaan Singapura umum projek HSR KL-Singapura telah batal dan negara itu akan tuntut pampasan dari kita.

“Sebelum ini, Kerajaan PH pernah bayar RM45 juta kepada Singapura sebab tangguhkan projek ke akhir tahun 2020.

“Pampasan kali ini kepada Singapura dianggarkan sekurang-kurangnya RM310 juta,” Katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Pagi tadi, Perdana Menteri Singapura mengesahkan pembatalan projek HSR dan memaklumkan kedua-dua negara akan mematuhi syarat masing-masing dan melakukan tindakan yang diperlukan akibat penamatan perjanjian projek HSR.

Dalam kenyataan berasingan yang dikeluarkan kementerian pengangkutan Singapura, negara itu memaklumkan Malaysia perlu membayar pampasan kepada Singapura atas pembiayaan yang ditanggungnya sebagai sebahagian daripada kewajiban berdasarkan perjanjian dua hala.