Najib dan ‘Selasa’ yang tidak kunjung tiba

Najib dan ‘Selasa’ yang tidak kunjung tiba

Semalam genap lima kali Selasa daripada tarikh janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk saman Wall Street Journal, sebagaimana yang dipetik sumber dalaman dan dilaporkan media-media tempatan.

Bermakna, ‘Selasa’ yang dijanjikan telah sebulan berlalu.

Sebulan berlalu dan beliau masih ‘buat bodoh’ seolah-olah rakyat hidup dalam gua dan tak tahu apa-apa tentang kes dan isu melibatkan pentadbiran beliau.

Daripada pendedahan Wall Street Journal, hinggalah kepada tindakan US Department of Justice (DOJ) terhadap penggubahan wang haram melibatkan ‘Malaysian Official 1’ dan konco-konconya, ‘Selasa’ yang dijanjikan Najib masih tak kunjung tiba.

Mungkin ‘Selasa’ yang ditunggu Najib tidak wujud dalam kalendar Malaysia.

Atau Najib menunggu ‘Selasa’ yang bukan kita faham sebagai hari dan tidak merujuk kepada masa.

Baiklah, kadang-kadang kita sebagai rakyat terlalu kasar, terburu-buru dan tidak sabar.

Kalau ditanya elok-elok, mungkin Perdana Menteri akan jawab dengan baik.

Cuba bertanya dengan sopan-santun, “Wahai Perdana Menteri yang disayangi. Setelah 5 kali Selasa berlalu, sejujurnya berapa lama lagi ‘Selasa’ yang mahu ditunggu Datuk Sri untuk mengambil tindakan terhadap Wall Street Journal dan pihak-pihak lain yang melibatkan Datuk’ Seri dalam jenayah mega 1MDB?”

Setelah bersopan-santun begitu, Najib masih tidak jawab dan tetap ‘buat bodoh’ dengan soalan tersebut, janganlah pula kita marah.

Sebetulnya memang Najib tidak akan mengambil tindakan undang-undang pun.

Najib ‘cukup cerdik’ untuk tahu bahawa tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa tidak hanya akan mengalahkan beliau, bahkan juga berisiko besar untuk terdedahnya kes-kes lain yang boleh jadi ketika ini masih tersimpan kemas.

Sebagai pemimpin utama sebuah parti yang telah berjaya memenangi 13 kali pilihanraya umum dengan sekian banyak ‘silap mata’, Najib cukup tahu apa yang boleh dan tidak boleh dibuat.

Setakat berjanji kemudian ‘buat bodoh’ dan nafi akhirnya, beliau percaya penuh bahawa rakyat tidak akan marah.

Bahkan marah-marah rakyat ketika ini hanyalah ‘marah-marah kuching’ yang akhirnya cair dengan BR1M seribu ringgit menjelang pilihanraya.

Setakat pung pang pung pang bising-bising kedai mamak, bila dapat bonus sebulan gaji daripada kerajaan, terus meleret senyum kita sampai ke telinga.

Kerja-kerja menafikan bahawa Najib Razak bukan ‘Malaysian Official 1’ dan mereka-reka cerita kononnya ada komplot mahu menjatuhkannya tidaklah terlalu susah untuk disusun.

Najib cukup tahu bahawa orang-orang seperti Khairul Azwan, si Naib Pemuda UMNO itu cukup mudah untuk dipergunakan.

Buat laporan polis, kemudian jawab entah apa-apa depan wartawan, akhirnya yang beroleh maki berbakul-bakul bukan Najib, tapi ‘macai-macai’ seperti ini.
Mudah sungguh kerja pelapis-pelapis muda UMNO. Bak kata Khairy Jamaluddin, “Tak apalah, kita jadi balaci, kita jadi macai tak apa. Sebab apa? Kebersamaan dengan presiden.” Hidup Melayu!

Hal besar yang perlu difikirkan adalah, berapa lama lagi Najib mampu bertahan dengan stail kepimpinan seperti ini?

Adakah beliau tahu bahawa hari demi hari orang ramai hanya berbincang, “Bila dan bagaimana untuk Najib diturunkan?”

Adakah selepas ini Najib mahu menggunakan pula terma-terma Islamik seperti ‘bughah terhadap Ulil Amri’ untuk ‘menjustifikasikan’ tindakan balas beliau terhadap rakyat, sementelah kini kuasa besar di tangannya melalui Akta Majlis Keselamatan Negara yang telah sempurna diwartakan?

Bapanya, almarhum Tun Razak – dengan jasa-jasa besar terhadap negara – merupakan tokoh pemimpin yang pernah bernadi di sanubari rakyat.

Najib sendiri acap kali menyebut-nyebut nama dan legasi bapanya, seolah-olah ingin terbina persepsi bahawa beliau mengikut jejak bapanya. Dengan segala macam skandal, pembohongan dan penafian ini, tidakkah beliau terfikir bahawa tindak-tanduk beliau bukan sahaja mencalarkan imej dirinya, bahkan almarhum bapanya yang dibanggakan rakyat sebagai Bapa Perpaduan?

Melebihi sepenggal kepimpinan beliau, malangnya Najib ketika ini hanya boleh ‘berbangga’ sebagai Perdana Menteri paling tidak disukai dalam sejarah Malaysia.

Tidak hanya dibenci, majoriti rakyat bahkan malu untuk dikaitkan dengan dirinya, lebih-lebih lagi isterinya, Rosmah Mansor.

Jika sebelum skandal 1MDB beliau hanya merupakan liabiliti kepada Umno dengan adanya bayang-bayang ‘First Lady of Malaysia’ yang cukup berpengaruh dalam kerajaan, kini Najib secara pasti merupakan liabiliti kepada rakyat, bahkan sejarah peradaban negara.

Najib dan ‘Selasa’ yang entah bagaimana bentuknya adalah simbol hubungan yang gagal antara pemimpin dan rakyat.

Amat menyedihkan apabila rasa hilang kepercayaan itu terherot hingga terbangnya kebanggaan rakyat terhadap negara berdaulat ini.

Maka buatlah sesuatu duhai rakyat. Sebelum negara ini mati dan dikapankan terus.

Sementara masih bernyawa-nyawa ikan ini, bertindaklah segera memberikan ‘CPR’ kepada watan tercinta. Jika itupun masih susah dan lambat-lambat untuk mengorak langkah, maka terimalah salam takziah awal daripadaku.

Belasungkawa rakyat Malaysia!

#TangkapMO1 #27Ogos #KL

*Penulis merupakan Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional

CATEGORIES
TAGS