Malaysia Dateline

Najib dan Temujanji di Samarra

Foto: Amazon.com

Saya tidak faham dari mana datang keyakinan dan ketebalan muka mantan Perdana Menteri kita, Najib Razak, hari demi hari.

Beliau bukan lagi sedang menunggu, beliau sudah pun dihadapkan ke mahkamah untuk diadili semua perbuatan rasuah kejinya ketika menjawat jawatannya di Putrajaya.

Saya juga tidak faham dari mana datang keyakinan dan ketebalan muka yang sama pemimpin-pemimpin dari Umno-BN yang lain.

Mereka malah menyarungkan baju lokap SPRM tanpa rasa malu, dan dengan bangga dijadikan pula simbol perjuangan hari ini.

Namun yang paling memberangkan tentu sekali adalah individu yang paling jahat di antara semua Taek Jho Low yang masih berkeliaran bebas serata dunia.

Sekali-sekala beliau mengeluarkan kenyataan melalui konsultan dan peguam yang diupah tegar sekali menegakkan benang-benangnya yang basah.

Apakah mereka ini benar-benar yakin diri mereka akan terlepas, bebas, dan dibuktikan tidak bersalah?

Atau mereka ini menganggap yang dilakukan itu tidak salah sama sekali, dan bukan perkara yang harus dimalukan?

Atau mereka menganggap ada keajaiban yang bakal berlaku, di mana mereka muncul sebagai pemenang saat akhir kembali juara di mata rakyat yang dibohongi mereka selama ini?

Sedarkah mereka takdir apa yang sedang menunggu mereka?

Ada sebuah kisah teladan klasik dari Mesopotamia yang diulang pengkisahannya oleh penulis Inggeris, William Somerset Maugham pada 1933, sebelum diangkat menjadi tajuk novel penulis Amerika Syarikat, John O Hara pada 1934. Versi terkenal kisah ini dipanggil The Appointment in Samarra, atau Temujanji di Samarra.

Ceritanya lebih kurang begini:

Seorang pedagang dari Kota Baghdad telah meminta orang suruhannya ke pasar bagi mendapatkan keperluan rumah. Tidak lama kemudian, orang suruhan ini telah pulangdengan tergesa-gesa dengan penuh ketakutan.

Pucat lesi, diceritakan kepada tuannya, Tuan, ketahuilah bahawa di pasar tadi aku telah terserempak dengan Maut.

Dia memandang tepat ke mataku dengan wajah yang mengancam dan menakutkan.

“Aku sama sekali tidak mahu mati di tangannya. Pinjamkanlah aku seekor dari kudamu untuk aku lari ke Kota Samarra. Di Samarra, pasti Maut tidak akan dapat berjumpa denganku.

Pedagang itu bersetuju untuk membantu orang suruhannya. Tanpa berlengah, orang suruhan itu memacu kuda yang dipinjamnnya jauh ke kota Samarra.

Tidak lama kemudian, pedagang tersebut langsung pergi ke pasar, dan benar di sana, beliau terlihat kelibat Maut di celah-celah orang ramai.

Dengan perasaan marah, kerana kehilangan orang suruhan dan kudanya pedagang menerpa ke arah Maut dan bertanyakan perihal yang telah berlaku atas orang suruhannya.

Maut yang kelihatan terpinga-pinga lalu menjawab Tidak, aku tidak mengancamnya, aku bukan menakutkannya. Aku cuma terkejut. Aku terkejut melihatnya pagi tadi di Kota Baghdad, sedangkan temujanji aku dengannya adalah malam ini di Kota Samarra.

Orang-orang jahat yang masih sedang berkeliaran bebas, bertutur di media dan ruang-ruang awam seolah mereka tidak ada salah dan akan dapat mengatasi hukuman dosa-dosa mereka ini harus sedar, tidak mungkin mereka boleh terus begitu.

Pemimpin-pemimpin Umno, Najib Razak, dan tentu sekali Jho Low harus sedar mereka masih ada temujanji di Samarra yang menunggu mereka.